KUALA LUMPUR – Semua pihak diingatkan supaya tidak menjadikan kematian pelajar, Zara Qairina Mahathir yang dikaitkan dengan kes buli sebagai senjata politik untuk menikam orang lain, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau menegaskan, tindakan mempermainkan kematian mangsa untuk menipu dan melakukan hasutan adalah perbuatan yang tidak boleh diterima sama sekali.
“Soal media sosial ini, kita kawal (tapi) ada terbatasnya. Umpamanya yang terbaru, seseorang yang kata dia itu doktor patologis bagi gambaran dan ini meracuni pemikiran jutaan orang sehingga ada rakan, isteri, sahabat bertanya PM (Perdana Menteri) apa ini?
“Orang itu (Zara) dah terkorban, kemudian kita jadikan ini sebagai satu senjata politik untuk menikam orang lain. Kalau benar tak apa, mana boleh kita mainkan seolah kematian orang itu (untuk) menipu dan menghasut sebegitu rupa,” katanya ketika menyampaikan amanat pada majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini, lapor BH.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Sambil tidak menolak kemungkinan berlaku beberapa kesilapan, Anwar berkata dalam pengendalian kes Zara Qairina dari segi proses siasatan, kelewatan dan sebagainya pihak berkuasa sedang mengatasinya dengan sebaik mungkin.
“Saya, TPM (Timbalan Perdana Menteri) Fadillah, TPM (Datuk Seri Ahmad) Zahid (Hamidi) semua dah keluarkan kenyataan dan kita sudah adakan mesyuarat peringkat tertinggi untuk pastikan siasatan telus,” katanya.
Mengulas mengenai kejadian buli, Perdana Menteri berkata, budaya terbabit perlu dihentikan sama sekali.
“Kemelut dalam negara terutama beberapa kes kematian anak-anak kita, anak kita Zara (Qairina) di Sabah, Faris (Allahyarham Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman) di kelantan dan beberapa kes lain yang disebut kes buli.
“Buli ini penderaan psikologi, fizikal sama ada di sekolah, universiti, pejabat, Kementerian Kesihatan, itu mesti dihentikan kerana ini budaya yang merosakkan, kebejatan, penghinaan sama ada atas peribadi seseorang itu, warna kulitnya, dan pelbagai,” katanya lagi.
Sebelum ini media melaporkan, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang berusaha mengenal pasti identiti seorang pengguna TikTok yang mendakwa dirinya pakar bedah yang terbabit dalam kes kematian Zara Qairina.
Namun semakan Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan individu itu bukan seorang doktor pakar mahupun petugas KKM. – 18 Ogos, 2025
