HEADLINES

Kes serangan Sultan Nazrin: MCMC ambil keterangan Adun Manjoi berkait hantaran palsu berbau perkauman

MCMC berkata siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588]

9:51 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menyiasat dan mengambil keterangan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Manjoi, Mohd Hafez Sabri, berhubung hantaran palsu berunsur perkauman di media sosial membabitkan insiden seorang wanita menaiki pentas semasa sambutan Hari Kebangsaan peringkat Negeri Perak di Ipoh baru-baru ini.

MCMC dalam kenyataan berkata, hantaran tersebut mendakwa kononnya tindakan tersebut dilakukan seorang perempuan berbangsa Cina.

“Seperti yang telah disahkan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, ini adalah tidak benar dan berpotensi menimbulkan ketegangan kaum serta persepsi negatif dalam kalangan masyarakat.

“Sesi rakaman keterangan serta siasatan lanjut telah dijalankan dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada hari Selasa (2 September 2025).

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588], yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua (2) tahun, atau kedua-duanya, jika disabitkan kesalahan,” jelas kenyataan itu.

MCMC menegaskan bahawa penyebaran kandungan palsu berunsur perkauman merupakan perbuatan serius yang boleh mengancam keharmonian serta ketenteraman awam.

Orang ramai juga diingatkan agar sentiasa mengesahkan kesahihan maklumat sebelum membuat atau menyebarkan sebarang kandungan di media sosial.

Dalam kejadian pada 30 Ogos lalu, seorang wanita tempatan direman tiga hari selepas melepasi kawalan keselamatan dan menghampiri Sultan Perak Sultan Nazrin Shah di atas pentas utama ketika sambutan rasmi Hari Kebangsaan Peringkat negeri Perak di Ipoh.

Ketua Polis Ipoh Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, perintah reman dikeluarkan bermula Isnin hingga hari ini (Rabu).

Hasil siasatan awal mendapati wanita terbabit mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah, namun ujian saringan air kencingnya didapati negatif selain pernah menerima rawatan psikiatri.

Kes disiasat mengikut Seksyen 325/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menyebabkan cedera parah. – 3 September, 2025

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Duck and cover? FashionValet bought Vivy’s 30 Maple for RM95 mil in 2018

Purchase of Duck's holding company which appears to be owned wholly by Datin Vivy Yusof and husband Datuk Fadzarudin Shah Anuar was made same year GLICs invested RM47 mil

Ex-national basketball player arrested for alleged sexual harassment against students

Cheras top cop confirms source's claims, says 36-year-old suspect also has multiple simillar reports lodged against him before; source questions why MoE allowed him to teach

Related