KUALA LUMPUR – Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki mengesahkan siasatan terhadap kes bekas Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Seri Farhash Wafa Salvador berhubung penerokaan mineral di Sabah selesai dan ditutup.
Beliau berkata keputusan itu dibuat susulan Timbalan Pendakwa Raya memutuskan tiada kes jenayah yang boleh dikenakan kepada mana-mana pihak.
“Siasatan kita jalankan dengan memanggil semua yang terbabit dan kita juga merekod kenyataan daripada Sabah Mineral Management, kerajaan negeri, siapa-siapa yang dikatakan terbabit.
“Akhirnya, Timbalan Pendakwa Raya sudah membuat keputusan tiada kes jenayah yang boleh dikenakan kepada mana-mana pihak sama ada di bawah Akta SPRM 2009, Kanun Keseksaan dan tiada isu tadbir urus, maka kes ini ditutup,” katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.
Beliau menjelaskan tiada permohonan penerokaan perlombongan arang batu di kawasan rizab hutan di Kalabakan dan Gunung Rara berhampiran sempadan Kalimantan.
Menurut Azam, hanya permohonan eksplorasi secara bersyarat kepada Sabah Mineral Management Sdn Bhd (SMM) pada Mac 2023 oleh Syarikat Bumi Suria Sdn Bhd yang dikaitkan dengan Farhash.
“Tetapi syarikat itu diperlukan untuk mengemukakan dokumen-dokumen yang tertentu bagi sebarang kebenaran untuk eksplorasi berkenaan.
“Oleh kerana syarikat berkenaan tidak menepati atau tidak melaksanakan penyerahan dokumen diperlukan, maka permohonan itu telah dibatalkan pada 28 Mac 2025,” katanya lapor FMT.
Dalam laporan media Julai lalu, Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Sabah menafikan ada mengeluarkan lesen mencari gali kepada Syarikat Bumi Suria Sdn Bhd di bawah Peruntukan Ordinan Perlombongan Sabah 1960 (SMO 1960).
Media sebelum ini turut melaporkan bahawa SMM telah menganugerahkan lesen penerokaan perlombongan arang batu kepada Bumi Suria.
Laporan itu menyatakan syarikat terbabit telah diberi hak eksklusif untuk meneroka dan mencari mineral di kawasan rizab hutan seluas 70,000 hektar di Kalabakan dan Gunung Rara berhampiran sempadan Kalimantan. – 9 September, 2025
