KUALA LUMPUR – Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil mendedahkan beliau turut menerima emel berunsur ugutan yang disertakan dengan tangkap layar (screenshot) video lucah palsu berasaskan kecerdasan buatan (AI).
Menurut Fahmi, hasil semakan yang dijalankan mendapati emel yang turut dihantar kepada beberapa wakil rakyat itu menggunakan ayat yang hampir sama, disertakan tangkap layar serupa dan dipercayai dihantar daripada alamat emel yang sama.
“Kerajaan memandang serius insiden ini dan saya telah mengarahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengesan dan menjejak penjenayah yang menghantar emel ugutan tersebut melalui aplikasi Gmail (syarikat Google),’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Fahmi memberitahu antara lapan wakil rakyat yang telah menerima ugutan berkenaan ialah Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, Wong Chen (Ahli Parlimen Subang), Dr. Taufiq Johari (Ahli Parlimen Sungai Petani), Adam Adli (Timbalan Menteri Belia dan Sukan), Najwan Halimi (Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor), Senator Manolan Mohamad, Wong Chia Zen (Adun Kulim) dan Dr Fahmi Ngah (Exco Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor).
“Kerajaan mengambil maklum laporan mengenai beberapa wakil rakyat menerima emel berunsur ugutan yang disertakan dengan tangkap layar (“screenshot”) video palsu berasaskan kecerdasan buatan (AI).
“Emel tersebut mengugut untuk menyebarkan video palsu berkenaan sekiranya penerima tidak membuat bayaran sebanyak USD100,000,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Fahmi memberitahu, menghantar komunikasi jelik dengan niat mengugut adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang boleh dikenakan denda sehingga RM500,000, penjara sehingga dua (2) tahun, atau kedua-duanya sekali.
“Tindakan ini juga boleh disiasat di bawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua (2) tahun, denda, atau kedua-duanya sekali,’’ katanya.
Beliau menegaskan, kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang menyalahgunakan teknologi dan rangkaian komunikasi untuk mengugut atau memperdaya rakyat.
Segala usaha, ujarnya akan digembleng bagi memastikan penjenayah dibawa ke muka pengadilan demi menjamin keselamatan masyarakat. – 14 September, 2025
