KUALA LUMPUR – Parti Bersatu menanggung sepenuhnya perbelanjaan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu termasuk sumbangan kewangan kepada PAS.
Perkara berkenaan didedahkan bekas Ketua Setiausaha Sulit kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Marzuki Mohamad yang turut memberitahu PAS tidak menghadapi masalah besar berhubung perbelanjaan PRU15 kerana ditanggung PN.
Sementara perbelanjaan PN pula, kata beliau, semuanya ditanggung oleh Bersatu.
Hasilnya, kata beliau, PAS menang menang 43 kerusi Parlimen pada PRU15, iaitu jumlah yang terbesar dalam sejarah parti berkenaan sejak 70 tahun berada di persada politik Malaysia.
“Apabila mereka (PAS) bertanding menggunakan logo Perikatan Nasional, semua peralatan pilihan raya yang menggunakan logo PN disediakan oleh PN.
“Perbelanjaan PN pula semuanya ditanggung oleh Bersatu malah Bersatu juga memberikan sumbangan kewangan yang bukan sedikit kepada PAS.
“Ini hakikat bantuan peralatan dan kewangan yang diberikan oleh Bersatu kepada PAS yang saya percaya Sanusi (Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS dan PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor) sendiri tahu,’’ katanya menerusi kenyataan di Facebooknya hari ini.

Semalam, ketika berucap pada Muktamar Tahunan PAS di Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kos untuk mempertahan satu kerusi Parlimen pada PRU ke-16 ini dijangka mencecah RM1 juta sekiranya gagal menguasai pengunaan teknologi.
“Satu kerusi Parlimen pada masa akan datang, kalau tak dikuasai semua teknologi dan aplikasi yang ada di hadapan kita, kita akan bergantung kepada semua kaedah konvensional. Kosnya mahal… jangkaan satu kerusi RM1 juta… Kalau nak menang 60 kerusi, kena ada RM60 juta,” katanya.
Marzuki yang bersetuju dengan kenyataan Sanusi itu berkata, kos mungkin lebih besar dan bergantung kepada jumlah pengundi, saiz kawasan Parlimen dan keperluan logistik yang berbeza-beza.
Kos itu, ujar beliau akan bertambah jika pilihan raya diadakan di Sabah dan Sarawak kerana kos logistik yang lebih tinggi.
“Saya bersetuju dengan anggaran Datuk Seri Sanusi Mohd Noor, Pengarah Pilihan Raya PAS, bahawa dana pilihan raya yang diperlukan untuk satu kawasan Parlimen lebih kurang RM1 juta.
“Jumlah RM1 juta ini bagi saya “bare minimum”. Kalau serius nak menang pilihan raya jumlahnya mungkin lebih besar.
“Apa kosnya? Nak cetak bendera mesti ada duit. Poster calon mesti dibayar. Itu belum masuk bill board, kain rentang, topi, t-shirt, buluh dan kayu untuk pacak bendera dan lain-lain. Ini semua bukan percuma,’’ katanya.
“Jadi pilihan raya ini belanjanya besar. Tidak kira mana-mana parti pun inilah kos yang terpaksa ditanggung,’’ katanya. – 17 September, 2025
