KUALA LUMPUR – Ahli sejarah dan akademik menolak dakwaan Melayu purba mampu terbang dan bahkan mengajar orang Cina seni “kung fu terbang”, dengan menyifatkan kenyataan sedemikian sebagai tidak logik serta merosakkan pemahaman sejarah.
Pensyarah Fakulti Sains Kemanusiaan di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Sahul Hamid Mohamed Maiddin menegaskan sejarah mesti berlandaskan bukti yang boleh disahkan, bukan mitos atau kisah fantasi.
Mitos, katanya, lebih berupa cerita rakyat yang disulami kisah khayalan, romantisme dan superstitious.
Baru-baru ini pensyarah bahasa dan kesusasteraan Arab di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Solehah Yaacob dalam sebuah podcast Gabungan Nasionalis menyatakan Melayu purba memiliki kebolehan luar biasa termasuk terbang, dan mereka berkongsi kemahiran itu dengan orang Cina.
“Sejarah mesti berdasarkan sumber yang boleh disemak silang. Mitos lebih berupa cerita rakyat yang disulami kisah khayalan, romantisme dan superstitious” kata Sahul kepada Scoop.
Menurutnya, mitos atau legenda ada dalam masyarakat namun sekadar untuk hiburan dan memberikan semangat manakala sejarah adalah peristiwa yag benar-benar berlaku dan boleh dibuktikan ia berlaku, dan boleh kebenarannya dapat dipertahankan.
Sahul mengingatkan penyebaran dan kepercayaan tanpa had terhadap mitos akan melemahkan masyarakat.
“Sepertimana yang pernah dilakukan oleh kolonial British yang tidak mengajar sejarah dalam disiplin yang betul kepada anak jajahannya sebaliknya memperkenalkan hikayat dan legenda supaya mereka sentiasa dibuai angan-angan dan fantasi. Ia satu bentuk escapism,” katanya.
Kini, katanya, ia juga dikenali pseudohistory di mana sejarah yang palsu dibina dengan kisah mengarut dan khayalan dengan mengumpulkan bahan yang yang tidak sahih, dengan lambakan maklumat yang disimpulkan sewenang-wenangnya, tanpa ada kemahiran untuk ‘menyusun maklumat’.
Akibatnya, kata Sahul, ia boleh menjadi kesan serius.
“Sebagai sebuah negara, kita berisiko dimalukan oleh khalayak akademik apabila ia terbongkar seperti yang berlaku apabila penulisan dari UPM berkaitan ‘jong’ pernah ditegur oleh sejarawan Perancis Serge Jardin.
“Bagai generasi muda pula, kita berisiko melahirkan generasi yang ‘mudah terdedah dan terpedaya’ dan mudah percaya kepada khabar tanpa ada bukti. Inilah yang merosakkan dalam jangka panjang sepertimana yang dapat kita saksikan dalam sosial media hari ini,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Profesor Datuk Seri Dr Md Salleh Yaapar, menggesa Solehah supaya mengelakkan keterlaluan ketika membincangkan sejarah.
Beliau mengakui bahawa orang Melayu mempunyai hubungan dengan China purba, khususnya pada zaman Dinasti Tang dari tahun 618 hingga 907 Masihi, melalui perdagangan dan pembinaan kapal.
“Malah, kesusasteraan Cina awal dari tempoh itu menyebut bahawa orang Melayu hadir di istana diraja semasa Dinasti Tang,” katanya.
“Tetapi apa yang disebut sebagai ‘kebolehan terbang’ sebenarnya merujuk kepada tendangan terbang khas dalam pencak silat, yang pernah dipersembahkan oleh pesilat di istana. Ia tidak bermakna orang Melayu benar-benar boleh terbang.
“Adalah tidak wajar bagi Solehah untuk salah tafsir sesuatu lalu mengelirukan orang ramai.
“Saya faham beliau mahu mengangkat kehebatan orang Melayu, tetapi ia mesti dilakukan dengan betul — tanpa keterlaluan, tanpa mengeluarkan kenyataan di luar konteks, dan tanpa memesongkan fakta,” tambah Salleh. — 1 Oktober 2025

