KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) mengambil keputusan membatalkan Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Sekolah Berasrama Penuh (SBP7s) Peringkat Kebangsaan Tahun 2025, selepas seorang pelajar meninggal dunia secara mengejut, semalam.
Selain menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga murid, KPM dalam satu kenyataan berkata, keputusan membatalkan kejohanan sehingga esok dan menjadualkannya semula adalah bagi menghormati pemergian peserta terbabit.
“Allahyarham yang rebah ketika perlawanan, telah diberi rawatan awal oleh pasukan perubatan bertugas sebelum dibawa ke hospital dan disahkan meninggal dunia.
“Seluruh warga KPM mendoakan semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman dan beramal soleh,” kenyataan itu berkata.
Dalam kejadian semalam, Allahyarham Muhammad Fauzan Mohd Sulaiman, 16, dilaporkan rebah secara tiba-tiba ketika permainan sedang berlangsung.
Difahamkan, pelajar Sekolah Menengah (SMS) Johor itu segera diberi rawatan awal oleh pasukan perubatan yang bertugas di padang sebelum dihantar ke hospital, namun disahkan meninggal dunia.
Menurut laporan, Muhammad Fauzan dikatakan meninggal dunia semasa turun beraksi melawan Sekolah Menengah Sains Rembau (SEMESRA) dalam Kejohanan Ragbi SBP7s semalam. – 4 Oktober, 2025

