KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) belum membuat keputusan muktamad berkaitan permohonan bangunan setinggi 60 tingkat di kawasan Bukit Damansara.
DBKL dalam kenyataannya memberitahu sebarang keputusan muktamad hanya akan dibuat selepas proses libat urus dan penelitian teknikal yang komprehensif dilaksanakan.
Menurutnya, DBKL telah menerima permohonan bagi cadangan pelan susun atur untuk cadangan perdagangan di atas tiga lot tanah yang berkeluasan 7.98 ekar.
“Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040 (PTKL2040) yang telah diwartakan pada 28 Mei 2025 menetapkan kriteria yang boleh dipertimbangkan tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat teknikal perancangan dan pelawaan pandangan awam mengikut Kaedah 3, iaitu, pemberitahuan mendapatkan pandangan,” katanya dalam kenyataan malam tadi.
Baru-baru ini, kira-kira 200 penduduk, aktivis dan ahli politik berkumpul di Bukit Damansara bagi mendesak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menolak cadangan pembangunan semula Wisma Damansara menjadi dua menara setinggi 60 tingkat.
Protes itu turut disertai antaranya Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin, pengasas AirAsia Tan Sri Tony Fernandes, penyanyi Datuk Sheila Majid, serta bekas Ahli Parlimen merangkap peguam, Datuk Dominic Puthucheary.
Perhimpunan aman di sepanjang Jalan Semantan 2, yang dikawal ketat oleh polis dan anggota Rela, digambarkan oleh penduduk sebagai “protes T20” terbesar yang pernah diadakan di ibu kota, mencerminkan reputasi kawasan itu sebagai sebuah kejiranan mewah.
Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, yang juga penduduk setempat ketika berucap, mengingatkan projek mega itu akan memburukkan lagi kesesakan lalu lintas dan merosakkan ciri kediaman kawasan tersebut.
Khairy turut meminta DBKL supaya meneliti dahulu kesan sampingan sesebuah pembinaan terhadap penduduk sekitar sebelum melaksanakan projek.
Mengulas lanjut, DBKL berkata, cadangan sesuatu pemajuan juga masih lagi tertakluk kepada pematuhan syarat-syarat teknikal seperti Penilaian Impak Trafik (TIA), Geoteknik, Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA), Penilaian Impak Sosial (SIA) dan lain-lain aspek teknikal yang berkaitan.
Selain itu, pematuhan terhadap ulasan dan syarat yang dikemukakan oleh agensi teknikal lain seperti TenagaNasional Berhad (TNB), Pejabat Tanah dan Galian (PTG), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA), Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD), Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan agensi berkaitan lain juga perlu dipatuhi.
“DBKL ingin menegaskan setiap keputusan berkaitan pembangunan bandar sentiasa berpaksikan kepada dasar sedia ada dan pelan pembangunan yang diwartakan.
“DBKL juga komited memastikan setiap pembangunan yang dilaksanakan di Kuala Lumpur dilakukan secara teratur, mampan serta tidak menjejaskan kesejahteraan penduduk setempat,” katanya. – 6 Oktober, 2025

