KUALA LUMPUR – Hampir keseluruhan sukarelawan Global Sumud Flotilla dari Malaysia berada dalam keadaan sihat dan akan dihantar untuk menjalani pemeriksaan kesihatan secepat mungkin.
Setiausaha Politik Perdana Menteri, Farhan Fauzi yang bertemu dengan semua aktivis Malaysia itu sebaik tiba di Istanbul berkata, mereka juga kelihatan stabil dan bersemangat untuk terus membela perjuangan pembebasan Palestin.
“Semangat mereka itu sukar untuk saya gambarkan.
“Kebanyakan daripada peserta aktivis terpaksa membuang telefon bimbit mereka di lautan kerana risau akan terlepas ke tangan rejim. Oleh itu, mereka kini berada di Istanbul jauh daripada keluarga tanpa telefon bimbit,’’ katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Beliau ke Turkiye selepas diarahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk melihat keadaan para aktivis Malaysia di sana, selain memastikan keperluan asas mereka mencukupi, dengan segera.
Farhan ditemani oleh Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Halim.
Menurut Farhan, beliau diamanahkan oleh Anwar untuk segera membawa pulang kesemua anak-anak Malaysia tersebut ke tanah air dengan selamat.
“Kepulangan mereka kelak bukanlah satu pengakhiran kepada perjuangan menuntut kemerdekaan rakyat Palestin, tetapi bakal menjadi lambang bagaimana negara kecil Malaysia ini utuh prinsipnya dan punyai rakyat yang berani berhadapan dengan kekejaman kuasa besar.
“Pohon doa rakyat dan sahabat semua untuk keselamatan pulang wira dan wirawati negara,’’ katanya. – 6 Oktober, 2025
