KUALA LUMPUR – Kumpulan 23 sukarelawan rakyat Malaysia yang ditahan tentera Israel dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza selamat tiba di tanah air malam tadi dan sebagai tanda penghargaan, Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil telah menyumbangkan telefon bimbit baharu kepada mereka yang terlibat.
Beliau dalam satu kenyataan berkata sumbangan itu bertujuan memudahkan komunikasi dan urusan peribadi sebaik kembali ke tanah air, selain membantu sukarelawan terus berkongsi pengalaman dan maklumat misi melalui saluran komunikasi digital dengan lebih efisien.
Fahmi berkata sumbangan kecil itu adalah sebagai tanda penghargaan dan terima kasih kerana telah mewakili rakyat Malaysia dalam misi kemanusiaan GSF, serta memberikan informasi sepanjang berada di atas kapal.
“Usaha dan semangat para sukarelawan misi GSF amat dihargai kerajaan,” katanya.
Turut hadir menyambut ketibaan kumpulan sukarelawan termasuk Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta wakil agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) serta ahli keluarga.
Mereka yang berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul, Turkiye pada Isnin, 11.20 malam waktu tempatan, transit di Dubai, Emeriah Arab Bersatu sebelum meneruskan perjalanan pulang ke tanah air dengan penerbangan Emirates EK342 yang mendarat pada 10.07 malam di KLIA.
Penerbangan itu membawa kesemua 27 sukarelawan Malaysia termasuk empat dari kapal pemerhati serta lima peguam mendarat pada jam 10.07 malam tadi.
Pada 2 Oktober lalu, rejim Israel telah memintas semua 42 kapal misi kemanusiaan GSF ke Gaza dan menahan 495 aktivis termasuk 23 aktivis Malaysia, yang kemudian dibebaskan secara berperingkat bermula 4 Oktober.
Jumaat lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan menggantikan telefon bimbit kepada 23 sukarelawan GSF yang terpaksa dibuang ke laut mengikut prosedur operasi standard (SOP) keselamatan yang dilatih sebelum pelayaran.
SOP tersebut adalah langkah berjaga-jaga sekiranya kapal ditahan tentera Israel dengan semua delegasi telah menerima taklimat dan latihan praktikal sebelum memulakan misi kemanusiaan mereka.
Semua sukarelawan Malaysia dijangka bersama perdana menteri dan Jemaah Menteri menghadiri Himpunan Solidariti Bersama Gaza di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 8 malam ini.
Ia adalah himpunan rakyat bagi menyuarakan solidariti terhadap perjuangan rakyat Palestin. – 8 Oktober, 2025

