HEADLINES

Penduduk yang pilih pemaju projek pembangunan semula Kg Sg Baru, bukan kerajaan: Zaliha

Kampung Sungai Baru tidak pernah diwartakan sebagai kawasan Penempatan Pertanian Melayu (MAS) atau tanah rizab Melayu berdasarkan semakan Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur

2:54 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pemaju pembangunan Kampung Sungai Baru dipilih dan dilantik oleh penduduk, tanpa campur tangan kerajaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.

Sementara bayaran pampasan kepada penduduk yang tidak bersetuju dengan pembangunan Kampung Sungai Baru telah selesai sejak Januari 2023.

Beliau memberitahu, nilai pampasan yang ditawar ketika pengambilan tanah lebih menguntungkan daripada harga pasaran.

Menurut Dr Zaliha, penjelasan itu dibuat ekoran kekeliruan berhubung perkara berkenaan, bukan sahaja dalam kalangan masyarakat malah turut melibatkan Ahli Parlimen.

“Ramai di luar sana bahkan ada sesetengah Ahli Dewan Rakyat juga saya lihat keliru dan terus-terusan mengatakan bahawa Kerajaan yang terlibat dalam pemilihan pemaju.

“Untuk makluman Tan Sri Yang di-Pertua dan Ahli-Ahli Yang Berhormat, penduduklah yang sebenarnya bersetuju sendiri yang mencari, memilih dan melantik pemaju yang mereka inginkan tanpa ada campur tangan kerajaan.

“Penduduk sendiri mengambil inisiatif untuk menubuhkan sebuah persatuan bagi mengenal pasti, memilih dan melantik pemaju pilihan mereka untuk melaksanakan projek pembangunan semula itu.

“Penduduk yang bersetuju untuk membangunkan semula Kampung Sungai Baru telah menubuhkan sebuah persatuan pada 2010 yang dinamakan sebagai Persatuan Kebajikan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru sebagai usaha untuk menggerakkan pembangunan semula kawasan tersebut yang melibatkan 328 unit hartanah iaitu 264 unit flat dan 64 unit rumah teres,” katanya semasa sesi penerangan mengenai Kampung Sungai Baru di Dewan Rakyat hari ini..

Jelas beliau, persatuan tersebut juga menandatangani Memorandum Persefahaman dengan Ritzy Gloss Sdn Bhd, yang kemudiannya diambil alih oleh Suez Capital Sdn Bhd pada 2016, lapor Bernama.

Mengenai dakwaan ada pihak yang membangkitkan isu bahawa syarikat berkenaan berasal dari Singapura, beliau menyatakan dakwaan itu adalah tidak berasas kerana semakan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia menunjukkan ia dimiliki sepenuhnya oleh warganegara Malaysia.

“Sejak penubuhan Persatuan Kebajikan Pemilik Hartanah Kampung Sungai Baru 15 tahun yang lepas hingga kini, seramai empat Pengerusi telah menerajui persatuan ini, dan kesemua mereka adalah pemilik unit teres,” katanya.

Beliau turut memberitahu, Kampung Sungai Baru tidak pernah diwartakan sebagai sebahagian daripada tanah Penempatan Pertanian Melayu (MAS) atau diiktiraf sebagai tanah rizab Melayu, menurut semakan yang dibuat oleh Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGWPKL).

Menurut Dr Zaliha, Kampung Sungai Baru telah ditubuhkan pada tahun 1967 selepas kerajaan negeri Selangor melaksanakan projek pelurusan Sungai Klang, yang terletak bersebelahan tanah MAS, bagi mengurangkan kejadian banjir yang kerap berlaku di kawasan tersebut.

“Susulan kerja-kerja pelurusan sungai itu, kira-kira 16 ekar (6.47 hektar) tanah baharu terbentuk. Tanah baharu ini dikenali sebagai Kampung Sungai Baru tetapi tidak pernah menjadi sebahagian daripada 219.91 ekar (89 hektar) tanah MAS.

“Tanah tersebut kemudiannya dibangunkan oleh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dengan tujuan meningkatkan penempatan Melayu di sekitar Kampong Bharu. Namun, tiada rekod rasmi yang mengklasifikasikan tanah berkenaan sebagai sebahagian daripada tanah MAS,” katanya. – 9 Oktober, 2025

Topics

 

Hangat

Short-lived La Niña expected in early 2026, but stable weather to follow

MetMalaysia forecasts cool conditions and brief shifts in rainfall patterns before returning to normal

Govt has settled RM42bil of 1MDB debt, total obligations exceed RM50bil: Anwar

Anwar reveals over RM9 billion in remaining debt, with government funds covering the shortfall

3 senior Telekom Malaysia officers charged in US over US$20m embezzlement scheme

US prosecutors expose a sophisticated, multi-year insider scam at TM’s US subsidiary involving data capacity manipulation, phantom employees, and the use of AI-assisted tools to siphon millions

Related