HEADLINES

MCMC salur RM50 juta bagi penubuhan Dana Perkhidmatan Pos

Kementerian Komunikasi menerusi MCMC sedang memuktamadkan proses untuk menyalurkan dana sebanyak RM50 juta itu

5:17 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Kementerian Komunikasi mengumumkan dana sebanyak RM50 juta bagi penubuhan Dana Perkhidmatan Pos bertujuan menyokong transformasi sektor pos agar kekal relevan, mampan dan berdaya saing dalam era komunikasi dan e-dagang.

Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata, kementeriannya menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang memuktamadkan proses penyaluran dana berkenaan.

Jelasnya, selaras dengan komitmen Malaysia sebagai anggota Kesatuan Pos Sedunia (UPU), dana pendahuluan yang akan diselia Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia) itu disediakan bagi memastikan kelestarian dan kesinambungan perkhidmatan di seluruh negara, terutama di kawasan luar bandar.

“Atas dasar Obligasi Perkhidmatan Sejagat, dana ini akan disalur dan dirangkum sekali dengan perkhidmatan kurier untuk memastikan tunjang perkhidmatan Pos Malaysia kekal kukuh dalam berdepan cabaran 50, 70 atau 100 tahun akan datang.

“Kita percaya inisiatif ini akan dapat membantu Pos Malaysia seiring komitmen dan usaha berterusan mereka dalam mentransformasi industri dan perkhidmatan penghantaran yang dijalankan,” katanya, lapor Bernama.

Fahmi berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Redly Pos Malaysia International sempena Hari Pos Malaysia 2025 di Pusat Mel Nasional di Shah Alam hari ini.

Menurut Fahmi, dana itu bertujuan mengekalkan penyediaan perkhidmatan pos asas kepada rakyat tanpa sebarang gangguan selaras dengan keperluan Seksyen 5 Akta Perkhidmatan Pos 2012 (Akta 741).

Tambahnya, transformasi yang dilaksanakan oleh Pos Malaysia sejak tahun 2021 menunjukkan hasil yang memberangsangkan, dengan prestasi penghantaran sehari untuk bungkusan meningkat kepada lebih 90% berbanding hanya 50% pada 2021.

“Pos Malaysia juga merekodkan pencapaian 93 peratus penghantaran mel tepat pada masanya selain kadar kepuasan pelanggan terkemuka dalam industri sebanyak 91 peratus berbanding purata industri 82 peratus,” katanya.

Fahmi berkata Pos Malaysia juga telah melangkah ke fasa baharu transformasi dengan melaksanakan beberapa ujian model perniagaan baharu atau pembuktian konsep (POC) yang bermula pada suku keempat tahun ini.

“Langkah ini merupakan usaha syarikat untuk menangani cabaran struktur yang semakin mendesak termasuk kemerosotan jumlah mel, penurunan kunjungan pelanggan ke pejabat pos dan persaingan sengit dalam pasaran bungkusan.

“Kita berharap transformasi ini membawa manfaat bukan sahaja kepada syarikat tetapi juga kepada kakitangan dan semua pelanggan,” katanya. – 9 Oktober, 2025

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Apad confirms inDrive licence revoked effective July 24, but company can appeal

Russian-based company can file appeal through the agency for the Transport Ministry's consideration

Related