◉ HEADLINES

‘Jenayah tetap jenayah’ suspek kes rogol tertakluk undang-undang walaupun bawah 18: Azalina

Usia bawah 18 tahun tidak memberi imuniti daripada tindakan undang-undang sekiranya kesalahan jenayah dilakukan

1:46 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Suspek dalam kes rogol di sebuah sekolah menengah di Melaka, tetap tertakluk kepada siasatan dan tindakan undang-undang di bawah peruntukan Kanun Keseksaan.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, faktor usia di bawah 18 tahun bukan merit untuk suspek terlepas daripada sebarang tindakan.

Menurut Azalina, usia bawah 18 tahun tidak memberi imuniti daripada tindakan undang-undang sekiranya kesalahan jenayah dilakukan, lapor Malaysia Gazette.

“Kalau bawah 18 tahun, mahkamahnya mungkin berbeza, tetapi jangan salah faham. Bila berlaku jenayah, dia tetap boleh didakwa. Salah tetap salah, jahat tetap jahat. Hukuman tetap dikenakan,” ujarnya selepas sesi townhall Antibuli #GenarasiTanpaBuli di sini, hari ini.

Pada Sabtu, empat pelajar lelaki yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bulan depan, direman enam hari selepas disyaki merogol seorang pelajar perempuan bergilir-gilir di sebuah sekolah di Melaka, minggu lepas.

Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, perintah reman terhadap kesemua suspek berusia 17 tahun itu dikeluarkan oleh Penolong Kanan Pendaftar S R Arthana di Mahkamah Majistret Ayer Keroh di sini bagi membantu siasatan.

Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, empat pelajar Tingkatan Lima yang disyaki terbabit dalam kes rogol itu akan tetap menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 3 November depan.

Mengulas mengenai perkara itu, Azalina memberitahu, beliau tidak akan mengulas mengenai keputusan Kementerian Pendidikan (KPM) itu kerana ia di bawah bidang kuasa kementerian berkenaan namun dari sudut undang-undang, jenayah tetap jenayah.

“Saya tidak boleh beri penjelasan sebab itu mungkin dasar atau keputusan KPM. Itu saya tidak boleh komen.

“Tapi dari segi undang-undang jenayah, ia tetap satu kesalahan. Hukuman dan siasatan tetap dijalankan oleh pihak polis,’’ katanya. – 13 Oktober, 2025

Topics

 

◉ Hangat

National shuttlers demand RM2 million salaries: can BAM keep up financially?

Several top athletes aim for salaries that could outpace even the highest-earning footballers, raising questions about the sustainability of funding within Malaysian sports

Port Klang breaks into world’s top 10 busiest ports with 4.1% growth

Malaysia’s largest port overtakes Hong Kong as container volumes climb to 14.64 million TEUs in 2024

Malaysia pulls the plug on Kuwaiti Hornet deal after years of turbulence

RMAF walks away from costly, outdated aircraft amid rising concerns over integration, support, and long-term value

◉ Related