◉ HEADLINES

MCMC laksana siasatan awam berhubung standard mandatori pendaftaran pengguna prabayar

MCMC berkata ia selaras dengan Seksyen 55 dan 61 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 bagi memastikan ketelusan, keterangkuman serta akauntabiliti dalam proses pembangunan Standard Mandatori

4:20 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah melaksanakan siasatan awam berhubung standard mandatori untuk pendaftaran pengguna perkhidmatan selular awam prabayar.

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan pelaksanaan kertas siasatan awam itu dibuat selaras dengan Seksyen 55 dan 61 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 bagi memastikan ketelusan, keterangkuman serta akauntabiliti dalam proses pembangunan Standard Mandatori.

“Langkah ini memberi peluang kepada semua pihak berkepentingan untuk mengemukakan pandangan serta maklum balas terhadap piawaian yang dicadangkan, seterusnya membantu MCMC menilai kesesuaian, keberkesanan dan impaknya sebelum standard tersebut dimuktamadkan,” katanya.

Menurut MCMC, standard mandatori yang dicadangkan itu akan menggantikan Garis Panduan Pendaftaran Pengguna Prabayar 2017 dan dibangunkan bagi memperkukuh integriti proses pendaftaran pengguna melalui pengenalan mekanisme keselamatan baharu menggunakan platform automatik yang selamat, iaitu Pengesahan Berbilang Faktor (MFA).

MCMC turut memaklumkan bahawa di bawah peraturan baharu tersebut, suruhanjaya itu akan mempunyai kuasa untuk mengeluarkan arahan dan melaksanakan tindakan penguatkuasaan bukan sahaja terhadap penyedia perkhidmatan tetapi juga terhadap pengedar yang terlibat dalam proses pendaftaran pengguna akhir prabayar.

“Langkah ini memastikan akauntabiliti merentasi keseluruhan rantaian pendaftaran, di mana pengedar turut tertakluk kepada obligasi di bawah Seksyen 51 AKM 1998, bagi mengurangkan risiko salah laku yang boleh menjejaskan perlindungan pengguna,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, peraturan yang disemak semula turut memperkenal perlindungan tambahan bagi pengguna bawah umur dengan individu berumur 12 hingga 17 tahun diwajibkan menjalani proses pendaftaran melalui ibu bapa atau penjaga sah.

Cadangan standard tersebut juga memperkenal had baharu terhadap jumlah kad SIM yang boleh didaftarkan atas nama seorang individu sama ada warganegara Malaysia atau warga asing sebagai langkah membendung penyalahgunaan kad SIM yang berterusan.

MCMC turut mengalu-alukan penyertaan aktif daripada semua pihak berkepentingan bagi memastikan standard yang dibangunkan adalah menyeluruh, praktikal dan sejajar dengan keperluan semasa industri telekomunikasi.

Pandangan dan maklum balas boleh dikemukakan melalui pautan https://www.mcmc.gov.my/en/media/announcements/notice-public-inquiry-on-proposal-of-new-commiss mulai  sekarang hingga 28 November ini. – 15 Oktober, 2025

Topics

 

◉ Hangat

Over 23.6 million to benefit as new electricity tariff kicks in July 1

The Energy Commission has set a new average base tariff of 45.40 sen/kWh for RP4, slightly lower than before, bringing overall electricity costs down by up to 19% compared to the previous regulatory period

Malaysia pulls the plug on Kuwaiti Hornet deal after years of turbulence

RMAF walks away from costly, outdated aircraft amid rising concerns over integration, support, and long-term value

More than 100 Foodpanda riders protest over low wages at company headquarters

New Google Maps-based system forces riders to make more deliveries to make ends meet

◉ Related