KUALA LUMPUR – Wartawan veteran Datuk Ahirudin Attan, yang lebih dikenali sebagai Rocky Bru, menggesa penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung skandal pemalsuan dokumen yang menyebabkan Persekutuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan tujuh pemain warisan dikenakan tindakan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).
Bercakap dalam podcast Trick Lama terbitan Scoop, Rocky berkata Malaysia tidak sepatutnya menunggu hukuman lanjut daripada FIFA, sebaliknya perlu “menggantung diri sendiri atas rasa malu.”
“Kerana malu, kita tidak perlu tunggu untuk digantung. Kita patut lucutkan kelayakan sendiri dan jalankan siasatan yang betul — satu Suruhanjaya Siasatan Diraja — terhadap perkara ini,” katanya.
Beliau menambah, RCI itu mesti diketuai oleh panel yang “bebas dan berwibawa” bagi menentukan apa yang berlaku serta bagaimana untuk memulihkan kepercayaan terhadap bola sepak Malaysia.
“Kita perlu tahu apa yang berlaku, siapa yang bertanggungjawab, dan ke mana hala tuju kita selepas ini. Tiada jalan pintas untuk berjaya, kita perlu membina semula bakat tempatan,” kata Rocky.
Rocky mendedahkan idea untuk menubuhkan RCI itu tercetus selepas pertemuan terbarunya dengan seorang Sultanah, yang melahirkan rasa kecewa terhadap skandal tersebut dan berseloroh jika tujuh pemain itu boleh dinaturalisasikan, ”baginda juga mahu dinaturalisasikan — tetapi di negeri lain.”

Perbincangan yang turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif Scoop, Datuk Zainul Arifin Mohammed Isa, dan Ketua Pengarang, Terence Fernandez, turut menonjolkan keresahan yang semakin meningkat termasuk dalam kalangan kerabat diraja berhubung perkara itu ditangani.
“Bukan semua di istana bersetuju dengan apa yang sedang berlaku,” kata Rocky, merujuk kepada kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini yang membayangkan penglibatan pihak istana.
Zainul pula menyatakan bahawa isu ini telah menjadi perkara yang memalukan di peringkat antarabangsa.
“Apabila The Guardian menyiarkan skandal bola sepak Malaysia sebagai antara berita sukan utama mereka, itu menunjukkan sejauh mana perkara ini tersebar — dan bukan untuk sesuatu yang baik,” kata Zainul.
Baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution, mengakui beliau menggunakan budi bicaranya untuk memberikan kewarganegaraan kepada tujuh pemain terbabit — satu tindakan yang mengundang kritikan daripada pakar undang-undang serta pejuang hak kanak-kanak.
Terence pula menegaskan kenyataan Saifuddin itu hanya membangkitkan lebih banyak persoalan mengenai keadilan.
“Beliau kata menggunakan budi bicaranya untuk pemain, tetapi bagaimana pula dengan ribuan rakyat tanpa kewarganegaraan yang menunggu selama bertahun-tahun? Mengapa tidak gunakan budi bicara yang sama untuk semua kes yang layak?” soalnya.
Rocky menutup perbualan dengan menyeru FAM agar berdepan secara terbuka: “Jika kita menipu sistem, maka akuilah. Kita tidak boleh membaiki mutu bola sepak Malaysia dengan memalsukan dokumen sebaliknya hanya dengan membina semula kepercayaan.” – 18 Oktober 2025

