KUALA LUMPUR – Empat remaja lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Kanak-Kanak di sini hari ini atas pertuduhan melakukan serangan seksual terhadap pelajar Tingkatan Tiga berusia 15 tahun di sebuah sekolah di Baling, Jun lalu.
Tertuduh yang berusia 15 hingga 17 tahun termasuk seorang bekas pelajar sekolah yang sama didakwa secara berasingan dalam prosiding tertutup di hadapan Hakim Rohaida Ishak.
Kesemua suspek didakwa melakukan serangan seksual fizikal terhadap remaja perempuan itu di ladang kelapa sawit Becah Sawa di Siong, serta di dalam bilik darjah di sebuah sekolah menengah di sini, pada tarikh berbeza sekitar Jun, Julai dan Ogos tahun lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amirul Halimi Md Salleh, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah kemudian membenarkan semua tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 November ini untuk sebutan kes seterusnya.
Sebelum ini, media melaporkan tiga pelajar dan seorang bekas pelajar sekolah menengah telah ditahan berhubung kesalahan seksual dan pengedaran bahan lucah.
Polis membuat tangkapan selepas seorang bapa memaklumkan kepada guru disiplin sekolah bahawa video remaja berusia 15 tahun itu sedang diedarkan. – 21 Oktober, 2025
