KUALA LUMPUR – Perdana Menteri India, Narendra Modi akan menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-47 secara dalam talian memandangkan perayaan Deepavali yang masih diraikan di India pada ketika ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau dimaklumkan mengenai perkara itu selepas menerima panggilan telefon dari rakan sejawatnya itu malam tadi, bagi membincangkan usaha memperkukuh hubungan dua hala Malaysia–India ke tahap yang lebih strategik dan menyeluruh.
“Kami turut menyentuh mengenai penganjuran Sidang Kemuncak Asean ke-47 di Kuala Lumpur hujung bulan ini.
“Beliau memaklumkan akan menghadiri secara atas talian memandangkan perayaan Deepavali yang masih diraikan di India pada ketika itu.
“Saya menghormati keputusan tersebut dan menzahirkan ucapan selamat menyambut Deepavali kepada beliau serta seluruh rakyat India,’’ katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.

Sementara Perdana Menteri Jepun yang baharu dipilih, Sanae Takaichi, sedang mengatur untuk membuat penampilan diplomatik pertamanya pada mesyuarat berkaitan Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (Asean) hujung minggu ini dan merancang mengadakan pertemuan dua hala dengan Anwar.
Memetik laporan Agensi Berita Kyodo yang memetik sumber kerajaan, Takaichi, dijangka mengumumkan pemberian peralatan pertahanan kepada Malaysia di bawah kerangka Bantuan Keselamatan Rasmi (Official Security Assistance).
Program bantuan keselamatan Jepun dilancarkan pada tahun 2023 untuk membekalkan peralatan pertahanan kepada negara-negara yang sehaluan. Malaysia telah dipilih sebagai salah satu penerima pertama, bersama-sama dengan negara seperti Filipina dan Fiji.
Kerajaan Jepun memberi penekanan tinggi terhadap hubungan dengan negara-negara di Asia Tenggara, kawasan di mana laluan laut utama terletak dan pertumbuhan ekonomi terus berkembang.
Takaichi juga sedang mengatur pertemuan peringkat tertinggi dengan Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr., semasa lawatannya ke Malaysia.
Dalam agenda pelbagai hala, beliau merancang untuk mengambil bahagian dalam sidang kemuncak Jepun-Asean dan sidang kemuncak Komuniti Asia Sifar Pelepasan (Asia Zero Emission Community), sebuah kerangka kerjasama penyahkarbonan yang diterajui oleh Jepun.
Takaichi dijangka pulang ke tanah air di pertengahan acara tiga hari Asean bagi mengadakan pertemuan dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, yang dijangka tiba di Jepun pada Isnin sebagai sebahagian daripada siri lawatan beliau ke Asia.
Perdana Menteri baharu itu juga dijadualkan menghadiri sidang kemuncak forum Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) yang akan bermula pada 31 Oktober di Korea Selatan. – 23 Oktober, 2025
