KUALA LUMPUR – Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menolak dakwaan memaksa Aeroline dan pengendali bas ekspres lain beroperasi hanya dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS).
“Tidak benar kita memaksa mereka ke TBS. Mereka cuba mewujudkan persepsi kita memaksa Aeroline dan semua pengendali lain hanya ke TBS. Saya kata tidak.”
“Kita tidak memaksa sesiapa untuk pergi ke TBS, tetapi anda mesti beroperasi dari kawasan yang selamat, kawasan berlesen sebagai terminal,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Ekspo Pengangkutan Asia 2025, di Sepang hari ini.
Beliau berkata, kementerian bersedia memudahkan pelesenan lokasi lain yang bersesuaian dengan kemudahan yang sewajarnya, termasuk pusat beli-belah seperti 1 Utama.
Jelas Loke, perkara sama boleh dibuat di lokasi lain seperti Lalaport Bukit Bintang, di mana lorong bas khusus tersedia serta di IOI City Mall di Putrajaya, dan pusat beli-belah lain bersesuaian.
“Apa yang kita ingin beritahu kepada Aeroline dan mana-mana pengendali lain ialah semua orang mesti beroperasi dari terminal bas yang bersesuaian, berlesen, dan selamat.
“Definisi terminal bas sebelum ini sangat ketat. Kita akan cuba memudahkannya bagi membantu membolehkan lebih banyak kawasan menjadi terminal,” katanya lagi lapor FMT.
Syarikat bas ekspres milik Zulco Sdn Bhd antara Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Pulau Pinang, Johor Bahru, dan Singapura itu diarah menggantung perkhidmatannya selama sebulan sehingga 6 Disember atas arahan Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad).
Ia susulan pengeluaran tiga surat tunjuk sebab oleh Apad kepada pengendali itu antara 13 Mac dan 10 Oktober atas alasan penyalahgunaan lesen operasinya kerana mengambil dan menurunkan penumpang di lokasi tidak dibenarkan.
Buat masa ini, TBS yang terletak kira-kira 13km dari pusat bandar Kuala Lumpur, merupakan terminal utama yang dibenarkan.
Menurut Loke, kementerian bersedia memudahkan pelesenan bagi lokasi lain yang bersesuaian dengan kemudahan sewajarnya, termasuk pusat beli-belah seperti 1 Utama, Lalaport Bukit Bintang, dan IOI City Mall di Putrajaya.
“Saya telah memaklumkan Apad bagi memudahkan mereka dan membantu melesenkan kawasan tersebut untuk menjadi terminal bas,” katanya. – 11 November, 2025
