HEADLINES

Najib, anak gagal jelas cukai RM1.69 bilion, mahkamah tolak tangguh prosiding kebankrapan

Mahkamah turut memerintahkan kedua-duanya membayar kos RM7,000 setiap seorang

11:03 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Rayuan Datuk Seri Najib Razak dan anaknya, Datuk Mohd Nazifuddin, untuk menangguhkan prosiding kebankrapan terhadap mereka ditolak Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Prosiding itu dimulakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) selepas kedua-dua mereka gagal melunaskan tunggakan cukai masing-masing berjumlah RM1.69 bilion dan RM37.6 juta.

Pesuruhjaya Kehakiman, Suhendran Sockanathan @ Saheran Abdullah menolak rayuan itu selepas mendapati beliau tidak melihat sebarang kemudaratan lain yang boleh mewajarkan penangguhan.

Beliau turut memerintahkan kedua-duanya membayar kos RM7,000 setiap seorang.

Mahkamah Persekutuan pada 16 Oktober 2023 memutuskan bahawa kedua-dua beranak itu perlu melunaskan cukai tertunggak selepas menolak rayuan mereka untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi.

Suhendran sebelum itu menjelaskan merit penilaian cukai terletak di bawah bidang kuasa Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (SCIT) dan dalam perkara seumpama itu, peranan mahkamah adalah untuk memudahkan kutipan serta mendapatkan semula cukai pendapatan.

“Dakwaan Datuk Seri Najib dan Nazifuddin berkenaan isu had masa, pengiraan tidak tepat dan derma politik adalah perkara yang berkaitan dengan merit rayuan cukai serta harus diputuskan oleh SCIT.

“Ia juga selari dengan konsep yang telah lama digunakan di Malaysia dalam kutipan cukai iaitu formula pay first, dispute later di bawah Akta Cukai Pendapatan, bertujuan untuk memudahkan kutipan cukai,” katanya.

Beliau turut menolak hujahan bahawa rayuan Najib dan Nazifuddin yang masih berjalan di hadapan SCIT wajar dijadikan alasan untuk penangguhan.

Tegasnya, rayuan sedemikian tidak menghalang atau menggantung proses kutipan cukai.

Peguam Wee Yeong Kang, yang mewakili dua beranak pula berkata beliau telah diarah untuk memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah hari ini.

Najib dan Nazifuddin merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus dalam kes tunggakan cukai terhadap mereka.

Penghakiman terus bermaksud keputusan yang dibuat oleh mahkamah berdasarkan hujahan bertulis tanpa memanggil saksi memberi keterangan dalam perbicaraan.

Sebelum ini, dua Mahkamah Tinggi telah membenarkan permohonan LHDN untuk memasukkan penghakiman terus untuk mendapatkan semula tunggakan cukai daripada Najib dan anaknya bagi tempoh 2011 hingga 2017.

Pada September 2021, Mahkamah Rayuan menolak permohonan dua beranak itu bagi mengetepikan penghakiman tersebut.

Namun pada pada 10 Mei 2022, Mahkamah Persekutuan memberi kebenaran kepada mereka untuk meneruskan rayuan di peringkat tertinggi. – 17 November, 2025

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

No, Malays could not fly: Scholars call out pseudohistory

UPSI and DBP academics urge discipline in handling history after Prof Solehah’s claims of Malays teaching China ‘flying kung fu’

Related