HEADLINES

‘Nenek pun boleh jadi ahli’: Adakah keahlian Majlis Media Malaysia terlalu terbuka?

Majlis Media Malaysia bukan sekadar wadah keahlian terbuka, tetapi ruang penglibatan aktif yang membentuk hala tuju industri

5:21 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Majlis Media Malaysia (MMM) yang baru ditubuhkan kini berdepan dengan persoalan terutama berhubung sistem keahlian terbuka, dengan sesetengah pihak berpendapat ia mungkin melemahkan keupayaan majlis itu untuk menegakkan piawaian media secara berkesan.

Bercakap kepada podcast ‘Trick Lama’, Timbalan Pengerusi MMM, Premesh Chandran bagaimanapun mempertahankan piawaian majlis itu sambil membincangkan misinya dan kategori keahlian yang luas.

Wartawan veteran yang juga pengasas bersama Malaysiakini menjelaskan peranan MMM adalah untuk mempromosikan kewartawanan beretika, melindungi kebebasan media dan bertindak sebagai saluran untuk menangani aduan berkaitan media di Malaysia.

Namun, Premesh menjelaskan MMM bukanlah sebuah badan pengawal selia sebaliknya sebuah platform peralihan bagi pengawalseliaan kendiri media.

“Peranan MMM adalah jelas, kami berhasrat untuk mempromosikan piawaian etika kewartawanan, menggalakkan kebebasan media yang bertanggungjawab, dan berfungsi sebagai saluran untuk mengendalikan aduan mengenai laporan media di Malaysia,” kata Premesh.

‘Trick Lama’ dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Big Boom Media, Datuk Zainul Arifin Mohammed Isa; Pengarah Eksekutif Kumpulan, Datuk Ahirudin Attan (lebih dikenali sebagai Rocky Bru); dan Ketua Pengarang Kumpulan, Terence Fernandez. Big Boom Media ialah penerbit Scoop.

Salah satu isu yang dibangkitkan dalam podcast itu ialah betapa mudahnya untuk menjadi ahli MMM meskipun individu terbabit tidak terlibat secara langsung dalam industri media.

Dalam podcast tersebut, Terence menyentuh mengenai struktur keahlian MMM yang begitu mudah diakses sehinggakan ‘seorang nenek pun boleh menjadi ahli’.

‘Trick Lama’ dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Big Boom Media, Datuk Zainul Arifin Mohammed Isa (dua dari kanan); Pengarah Eksekutif Kumpulan, Datuk Ahirudin Attan (kiri); dan Ketua Pengarang Kumpulan, Terence Fernandez (dua dari kiri). – Gambar Scoop, 21 November 2025

Premesh mengesahkan sifat inklusif MMM, dengan yuran keahlian serendah RM10 di bawah Kategori C, yang terbuka kepada orang awam dan NGO.

Ia berbeza dengan Kategori A yang lebih khusus untuk syarikat media, serta Kategori B untuk wartawan dan persatuan media.

“Media hari ini tidak lagi hanya dimiliki oleh mereka yang bekerja di bilik berita,” jelas Premesh.

“Media kini berfungsi untuk kepentingan awam yang lebih luas, dan mencerminkan kepentingan masyarakat secara keseluruhan. Ahli politik, pembaca, malah ibu bapa turut mempunyai kepentingan dalam wacana nasional.”

Walaupun MMM bertujuan menjadi ruang untuk penyertaan yang lebih meluas, Premesh menekankan keahlian semata-mata tidak mencukupi untuk mempengaruhi keputusan.

Cabaran sebenar, katanya, ialah bagaimana ahli boleh menyumbang secara aktif.

“Ia bukan sekadar menjadi ahli, tetapi sejauh mana seseorang sanggup terlibat dalam jawatankuasa, menyumbang idea, dan mengambil bahagian dalam perbincangan,” katanya.

Premesh mengakui bahawa nilai sebenar MMM terletak pada komitmen mereka yang sanggup meluangkan masa dan usaha untuk membentuk hala tuju majlis.

“Ia mengenai penglibatan, untuk memberi impak, ahli mesti terlibat secara langsung.,” katanya.

Majlis itu telah ditubuhkan secara rasmi pada 15 Julai 2025, menandakan detik penting dalam perjalanan reformasi media negara.

Penubuhan Majlis itu dipelopori oleh Kementerian Komunikasi dengan sokongan kuat daripada Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, yang sekian lama memperjuangkan idea sebuah badan media pengawalseliaan kendiri.

Peranan kerajaan amat penting dalam memudahkan kerangka undang-undang majlis, melantik lembaga pengasas, serta memastikan majlis beroperasi secara bebas daripada kawalan langsung kerajaan.

Fahmi menggambarkan MMC sebagai satu “pencapaian bersejarah” dan menekankan majlis itu bukan jurucakap kerajaan, sebaliknya sebuah platform untuk pengamal media menegakkan piawaian etika dan menyelesaikan pertikaian secara adil.

Penubuhan majlis itu adalah hasil rundingan meluas dengan wartawan, editor, pemilik media, dan organisasi masyarakat sivil, yang ramai antaranya telah lama memperjuangkan kewujudan badan sedemikian sejak tahun 1970-an.

Pada 7 November, MMC telah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) sulungnya, di mana 12 ahli dipilih untuk mewakili tiga kategori: syarikat media, wartawan dan persatuan media, serta orang awam atau masyarakat sivil.

Ahli-ahli ini datang dari seluruh Semenanjung, Sabah, dan Sarawak, sekali gus memastikan keahliannya diwakili serantau. Separuh daripada ahli majlis yang dipilih adalah wanita, mencerminkan komitmen terhadap keseimbangan gender dan keterangkuman.

Premesh berkhidmat sebagai pengerusi sementara semasa fasa penubuhan majlis.

Mandat majlis termasuk menegakkan kewartawanan beretika, memupuk kepercayaan awam, dan menyediakan mekanisme untuk menyelesaikan aduan mengenai kandungan media.

Ia juga dianggap sebagai langkah yang lama tertangguh ke arah memperkukuh wacana demokratik dan melindungi kebebasan media di Malaysia. – 21 November 2025

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Cleared for layoffs? AirAsia to retrench 20% of workforce in major cost-cutting move

This allegedly involves cabin services, cargo and logistics, engineering and maintenance, as well as the commercial division, according to Scoop’s source

Related