KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, BN tidak akan ‘berkelahi’ di luar, sebaliknya akan menyelesaikan segala isu secara dalaman termasuk membabitkan parti komponennya, MIC.
Beliau berkata, BN akan menyelesaikan segala isu parti secara dalaman membabitkan MIC secara perbincangan bersama.
“Bila ada masalah atau apa-apa, kita duduk bersama, kita akan bincang sama-sama.
“Itulah tradisi BN sejak dulu lagi. Kita tak suka nak bergaduh di luar ni,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di Hospital Pengajar Universiti Malaysia Sabah (HUMS) dan dua blok kediaman pelajar di Universiti Malaysia Sabah (UMS), di Kota Kinabalu, hari ini lapor BH.
Zambry berkata demikian ketika mengulas mengenai kenyataan Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran bahawa parti itu terbuka untuk bertemu dengan kepimpinan BN sekiranya dipelawa bagi membincangkan masa depan parti itu dalam gabungan berkenaan.
Terdahulu, Perhimpunan Agung MIC meluluskan usul untuk keluar daripada BN dan menyertai Perikatan Nasional (PN).
Pun begitu, Vigneswaran mengumumkan parti itu memutuskan untuk menyerahkan kepada pimpinan Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) untuk membuat keputusan.
Zambry turut mengulangi akan menyelesaikan isu berkaitan MIC selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah selesai.
Katanya, pemimpin MIC juga mengetahui mengenai perkara itu, bahawa keutamaan kini adalah PRN Sabah yang sedang berlangsung.
“Saya telah pun membuat kenyataan beberapa hari lalu kerana keutamaan kita pada kali ini ialah kepada PRN Sabah yang sedang berlangsung.
“Mereka pun faham kita akan selesaikan (isu MIC) selepas (PRN). Kita akan berjumpa, bincang dan minum kopi,” katanya. – 22 November, 2025
