KUALA LUMPUR – Polis telah menahan seorang lelaki dalam kes serangan ke atas wartawan sukan dan Timbalan Presiden Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC), Haresh Deol di Bangsar, semalam.
Ketua Polis Brickfeild, Hoo Chang Hook berkata, suspek yang berusia 37 tahun itu ditahan oleh pasukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Brickfeild pada jam 2 pagi tadi.
“Permohonan reman ke atas suspek dibenarkan selama tiga hari sehingga 28 November oleh Majistret Kuala Lumpur.
“Kami mengklasifikasikan kes ini sebagai ugutan jenayah dan dengan sengaja menyebabkan kecederaan di bawah Seksyen 506 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
“Seksyen 323 membawa hukuman penjara sehingga satu tahun, denda sehingga RM2,000, atau kedua-duanya sekali, manakala Seksyen 506 membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,’’ katanya.
Semalam, Haresh, yang juga pengasas bersama berita TwentyTwo13, memaklumkan beliau telah diserang ketika menuju ke keretanya manakala seorang lagi individu merakam insiden tersebut menggunakan telefon bimbit.
Menerusi hantaran di media sosial X, Haresh berkata beliau telah membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan.
Susulan itu, polis telah menjalankan siasatan bagi mengenal pasti tiga lelaki dipercayai terlibat dalam kejadian itu yang berlaku di Jalan Maarof berhampiran parkir sebuah pusat beli-belah, ketika Haresh sedang berjalan di kaki lima menuju ke Jalan Telawi.
Insiden berkenaan mencetuskan kecaman keras daripada NPC, Gerakan Media Merdeka (Geramm) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang menyifatkan sebarang tindakan agresif atau cubaan menghalang tugas profesional wartawan tidak boleh diterima sama sekali.
Malah Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil dalam kenyataannya malam tadi berharap siasatan berhubung kejadian itu dapat dijalankan segera.
Ini kerana, kata Fahmi, keselamatan pengamal media, khususnya ketika mereka menjalankan tugas tidak boleh dikompromi dalam apa jua keadaan.
Sementara Presiden NPC, Datuk Ahirudin Attan, atau lebih dikenali sebagai Rocky Bru, mengecam keras serangan terhadap Haresh dan menyifatkannya sebagai perbuatan ‘pengecut dan biadap’.
“Serangan terhadap Haresh adalah pengecut dan biadab,” kata Ahirudin, yang juga pengarah eksekutif di Big Boom Media, penerbit Scoop.
Manakala Geramm pula menggesa polis untuk menyiasat insiden ini dengan segera dan telus, termasuk mengenal pasti motif serta individu yang terlibat selain mengambil tindakan tegas terhadap pelaku.
“Serangan fizikal terhadap seorang wartawan bukan sahaja mengancam keselamatan individu, tetapi juga menjejaskan hak orang awam untuk menerima maklumat tepat serta bebas tekanan,” katanya.
Pemangku Presiden FAM Datuk Mohd Yusoff Mahadi pula menyifatkan serangan itu sebagai tidak mencerminkan semangat kesukanan dan nilai integriti yang diperjuangkan oleh badan induk itu.
“FAM berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab dan memastikan keadilan ditegakkan.
“Pada masa sama, FAM akan terus bekerjasama rapat dengan pengamal media serta memastikan ruang yang selamat, profesional dan saling menghormati diwujudkan antara semua pihak yang terlibat dalam industri sukan negara,” katanya. – 26 November, 2025

