KUALA LUMPUR – Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dijangka akan membawa usul menggantung Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Seri Takiyuddin Hassan daripada sidang Dewan Rakyat selama enam bulan kerana kenyataan yang mengaitkan agensi penguatkuasaan maritim dengan peristiwa Memali.
Menurut aturan urusan mesyuarat hari ini, menteri itu akan meminta Dewan memutuskan sama ada Takiyuddin patut digantung susula kenyataan ketika perbahasan peringkat dasar Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 pada 22 Oktober.
Usul itu menyatakan bahawa Takiyuddin membandingkan insiden melibatkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Masjid Rusila, Marang, Terengganu dengan peristiwa Memali 1985 dan mendakwa ia percubaan menakut-nakutkan rakyat.
Walaupun penjelasan sudah dibuat pihak polis pada 6 dan 13 Oktober bahawa ia sebahagian latihan yang dijalankan Pasukan STAR APMM, dan Takiyuddin sendiri maklum tentang perkara tersebut, beliau didakwa terus membangkitkan perkara tersebut di Dewan Rakyat.
Komen itu didakwa memberi imej negatif terhadap agensi tersebut serta mencemarkan reputasi anggota, dengan ada antara mereka mungkin teraniaya akibat tuduhan tidak berasas itu.
Usul itu selanjutnya menyatakan bahawa dakwaan Takiyuddin ‘seolah-olah menjatuhkan martabat’ pegawai agensi yang melindungi domain maritim Malaysia daripada ancaman seperti penyeludupan, penangkapan ikan secara haram, pengedaran dadah, kegiatan lanun dan pencerobohan asing.
Takiyuddin juga dituduh membuat dakwaan serius dan mengelirukan yang boleh mencetuskan sentimen antikerajaan.
Usul itu mencadangkan supaya setiausaha agung PAS itu digantung daripada sidang Dewan Rakyat dan jawatankuasa pilihan selama enam bulan dari tarikh keputusan usul diluluskan.
Bagaimanapun, sama ada usul tersebut akan dibentangkan atau dibahaskan masih tertakluk kepada budi bicara speaker dan bergantung pada perjalanan mesyuarat hari ini.
Pada 22 Oktober lalu, Takiyuddin mendakwa, 10 hingga 15 lelaki dalam lima buah kereta telah ‘menyerbu’ Masjid Rusila dengan cara yang mencurigakan.
Beliau mendakwa, mereka bertindak tanpa kebenaran masjid dan mempersoalkan sama ada ia ulangan peristiwa Memali 1985.
Saifuddin menjelaskan perkara tersebut berpunca daripada salah faham yang telah diselesaikan oleh pihak berkuasa dan hanya enam anggota APMM singgah di masjid tersebut untuk menunaikan solat Asar semasa latihan. – 3 Disember, 2025
