KUALA LUMPUR – Felda dan FGV Holdings Berhad (FGV) mempertahankan bahawa notis amaran yang dikeluarkan kerajaan Terengganu tidak memberi kesan kepada operasi ladang peneroka dan seluruh komuniti peneroka di Felda Wilayah Terengganu.
Kenyataan bersama yang dikeluarkan Felda dan FGV semalam menyebut peneroka masih boleh meneruskan aktiviti sara hidup masing-masing seperti biasa.
Walau bagaimanapun, notis amaran berkenaan mempunyai implikasi langsung terhadap operasi Felda dan FGV, khususnya perancangan jangka panjang dan kelancaran aktiviti komersial berkaitan.
“Impaknya turut merangkumi penurunan hasil yang menyumbang kepada pendapatan negara, sekali gus memberi kesan kepada komuniti peneroka yang bergantung kepada prestasi sektor perladangan,” kata kenyataan itu.
Kenyataan itu juga menyebut Felda mempunyai hak dan asas yang jelas serta kukuh mengikut Akta Tanah (Kawasan Penempatan Berkelompok) 1960 [Akta 530], yang memberi mandat dan tanggungjawab secara langsung kepada agensi itu untuk membangunkan Kawasan Penempatan Berkelompok (GSA), selaras dengan kuasa diberi di bawah Akta Pembangunan Tanah 1956 [Akta 474].
Sambil tidak menafikan kuasa kerajaan Terengganu dalam urus tadbir tanah, notis amaran yang memberi tempoh tiga hari untuk Felda dan FGV mengosongkan atau merobohkan struktur binaan serta memusnahkan tanaman adalah tempoh yang amat ketat, menekan dan sangat singkat dalam konteks pengurusan ladang dan operasi komersial.
Felda dan FGV menegaskan, isu berkenaan akan ditangani sepenuhnya secara profesional melalui prosedur perundangan yang ditetapkan bagi menjamin ketelusan dan keadilan dalam setiap tafsiran serta keputusan yang akan dibuat.
“Felda dan FGV beriltizam untuk memastikan setiap tindakan yang dilaksanakan adalah selaras undang-undang yang berkuat kuasa dengan tetap memelihara kepentingan pekerja, komuniti peneroka, menghormati bidang kuasa negeri serta menyumbang kepada kestabilan industri perladangan negara secara keseluruhan.
“Felda dan FGV meneliti implikasi undang-undang ini secara mendalam dan akan mengambil semua langkah yang perlu bagi mengurus kesannya terhadap FELDA dan FGV supaya kepentingan peneroka terus terpelihara,” katanya yang memberi jaminan akan bertindak berdasarkan rekod rasmi dan dokumentasi yang disahkan serta disokong oleh fakta.
Ia berkata pendekatan itu adalah bagi memastikan perlindungan hak setiap pihak yang terbabit, termasuk menjamin kesinambungan pendapatan kesemua 1,283 pekerja yang bergantung sepenuhnya kepada operasi ladang berkenaan.
Media sebelum ini melaporkan kerajaan negeri memberi tempoh tiga hari berakhir Sabtu lalu, supaya FGV mengosongkan 10 ladang seluas kira-kira 15,000 hektar.
Tindakan itu dikenakan selepas kerajaan Terengganu mendakwa Felda gagal memberi maklum balas tuntutan pembayaran hasil keuntungan sebanyak 30% tanah milik kerajaan negeri yang diterokai sejak 40 tahun lalu. – 3 Disember, 2025
