HEADLINES

Ops Songsang: polis nafi salah guna kuasa, proses undang-undang, dokumentasi ikut SOP

Prosedur melibatkan dokumentasi, permohonan reman dan urusan penjamin mengambil masa kerana jumlah tangkapan yang besar selain kehadiran ramai peguam

8:32 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) menegaskan tiada isu salah guna kuasa dalam Ops Songsang seperti dakwaan beberapa pihak baru-baru ini, termasuk sengaja melengah-lengahkan proses pelepasan tahanan sehingga melebihi tempoh 24 jam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata prosedur melibatkan dokumentasi, permohonan reman dan urusan penjamin mengambil masa kerana jumlah tangkapan yang besar selain kehadiran ramai peguam.

“Bila tidak dapat reman, kita tidak boleh lepaskan macam itu (sahaja). Kami perlu lakukan pemprofilan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Merentasi Cabaran, Memacu Kesejahteraan Siri 3 yang bertemakan ‘Unity for Safety’, di sini hari ini.

Menjelaskan situasi yang berlaku pada hari operasi terbabit, Fadil berkata proses undang-undang dan dokumentasi dilaksanakan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Beliau berkata serbuan bermula 8 malam dan proses awal di tempat kejadian serta di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) mengambil masa yang panjang sehingga laporan polis rasmi selesai dibuat pada 12 tengah hari keesokannya.

“Tempoh yang didakwa sebagai kelewatan itu sebenarnya ialah proses kritikal yang tidak dapat dielakkan dan selepas kertas siasatan lengkap pada 1 tengah hari, kita perlu memasukkan data permohonan reman ke dalam sistem bermula 1.30 tengah hari hingga 3.30 petang.

“Permohonan reman kemudian dibawa ke hadapan Majistret pada 6 petang dan jika dikira dari tempoh tangkapan awal, kita masih berada dalam tempoh sah 24 jam, namun apabila prosiding bermula 6 petang membabitkan jumlah tangkapan yang ramai dan kehadiran 14 peguam, proses itu berterusan sehingga malam barulah selesai,” katanya.

Fadil turut menafikan dakwaan wujud layanan ‘double standard’ terhadap individu yang ditahan.

Mengenai dakwaan kononnya polis sengaja mendedahkan identiti tahanan, beliau menjelaskan siasatan polis adalah sulit dan sebarang maklumat rasmi berlandaskan fakta kes umum tanpa pendedahan butiran peribadi secara spesifik.

Siasatan kes terbabit masih berjalan dan pihaknya masih mengumpul maklumat serta bukti bagi syor pertuduhan dilakukan.

“Kalau ada asas yang mencukupi, kertas siasatan akan kita rujuk (Timbalan Pendakwa Raya) dengan syor tindakan lanjut,” katanya.

Jumaat lepas, 17 penjawat awam antara 208 individu yang ditahan polis dalam serbuan di sebuah kelab kesihatan yang dipercayai dijadikan lokasi aktiviti seksual songsang di kawasan Chow Kit di sini.

Premis dua tingkat terbabit beroperasi sejak lapan hingga 10 bulan lepas, dan dibuka pada 5 petang hingga 11 malam semasa hari bekerja manakala pada hujung minggu bermula 3 petang hingga 11 malam.

Susulan serbuan terbabit, beberapa pihak tampil membuat pelbagai dakwaan berkaitan salah guna kuasa pihak polis terhadap individu yang ditahan. – 3 Disember, 2025

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

No, Malays could not fly: Scholars call out pseudohistory

UPSI and DBP academics urge discipline in handling history after Prof Solehah’s claims of Malays teaching China ‘flying kung fu’

DoSM estimates Malaysia’s population to be 34.1 mil in 2024

Three states with the highest population are Selangor, Johor, Sabah

Related