KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden PAS Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menyifatkan pembaharuan dalam polisi pakaian seragam kru kabin AirAsia yang membenarkan kru wanita memilih untuk berhijab semasa bertugas sebagai cerminkan kefahaman industri terhadap prinsip kebebasan beragama yang dijamin Perlembagaan Persekutuan.
Beliau berkata, keputusan itu bukan sahaja selaras tuntutan beragama dan juga keberkatan mencari nafkah diri tetapi selari realiti demografi di mana lebih 60% warga Malaysia adalah beragama Islam.
Ahli Parlimen Kubang Kerian itu dalam satu kenyataan berkata ia wajar menjadi penanda aras kepada semua syarikat penerbangan negara.
“Dalam konteks ekonomi moden, dasar inklusif yang menghormati keperluan agama dan budaya pekerja terbukti meningkatkan motivasi, kepuasan kerja serta imej korporat.
“Banyak syarikat global telah bergerak ke arah ‘faith-friendly workplace’, dan langkah AirAsia menempatkan Malaysia seiring dengan perkembangan itu,” katanya.
Semalam, AirAsia mengumumkan pembaharuan polisi pakaian seragam yang diharapkan dapat dimulakan Ramadan tahun depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group, Bo Lingam, berkata ini selaras dengan budaya AirAsia dan evolusi yang berterusan yang dibentuk oleh maklum balas daripada semua.
Kru kabin AirAsia sebelum ini mengenakan hijab sebagai sebahagian daripada operasi di beberapa laluan terpilih yang diwajibkan oleh peraturan tempatan, seperti Jeddah.
Dalam perkembangan berkaitan, Tuan Ibrahim turut menggesa industri penerbangan menilai semula penyediaan minuman keras bagi penerbangan domestik.
“Selain pertimbangan keselamatan dan risiko gangguan dalam pesawat, negara-negara yang mempunyai norma sosial lebih konservatif telah pun mengehadkan atau menghentikan penyediaannya tanpa menjejaskan daya saing industri.
“Malaysia wajar mempertimbangkan pendekatan serupa, selari dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan dan kehendak majoriti pengguna tempatan,” katanya.
Bulan lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dalam jawapan di Parlimen berkata Malaysia Airlines (MAS) tidak lagi menghidangkan minuman beralkohol untuk penerbangan domestik dan penerbangan antarabangsa dengan perjalanan kurang tiga jam. – 6 Disember, 2025
