HEADLINES

Roger Ng gagal batalkan sabitan kes 1MDB

Mahkamah Rayuan AS Litar Kedua di Manhattan mengesahkan keputusan itu, menolak dakwaan perbicaraannya tidak adil kerana hakim menghalang juri daripada mendengar rakaman penting

9:45 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Usaha akhir bekas eksekutif bank Goldman Sachs, Roger Ng untuk mengenepikan sabitan atas pembabitannya dalam penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ditolak Mahkamah Persekutuan Amerika Syarikat.

Ng, satu-satunya pegawai kewangan Goldman Sachs yang dibicarakan di Amerika Syarikat berhubung penipuan itu, dijatuhi hukuman penjara 10 tahun selepas disabitkan oleh juri persekutuan di Brooklyn, New York, pada 2022.

Amerika Syarikat kemudian membenarkan beliau pulang ke Malaysia pada 2023 untuk membantu siasatan pihak berkuasa negara ini, walau beliau sepatutnya mula menjalani hukuman penjara.

Mahkamah Rayuan Litar Kedua Amerika Syarikat di Manhattan mengekalkan sabitan terhadap Roger Ng, sekali gus menolak dakwaannya bahawa perbicaraannya tidak adil kerana juri tidak dibenarkan mendengar satu rakaman penting, kerajaan didakwa melanggar perjanjian ekstradisi dengannya, dan kes itu tidak sepatutnya dibicarakan di Brooklyn.

“Kami tidak mendapati sebarang hujah beliau meyakinkan,” kata Hakim Litar AS, Amalya Kearse, dalam keputusan setebal 50 halaman yang dikeluarkan bagi pihak panel tiga hakim.

Peguam Ng bagaimanapun tidak memberikan sebarang maklum balas ketika di minta media untuk mengulas lanjut.

Menurut pendakwa raya, Ng dan bekas ketuanya di Goldman Sachs, Tim Leissner, melaksanakan penipuan berkenaan bersama ahli perniagaan Malaysia, Jho Low, yang didakwa sebagai dalang utama skim itu.

Low, yang kini diburu, didakwa membayar ratusan juta dolar kepada pegawai di Malaysia dan Abu Dhabi bagi memastikan urus niaga bon yang diatur Goldman diluluskan, sebelum mengambil AS$1.42 bilion untuk dirinya.

Menurut pendakwa raya, Leissner memperoleh AS$73.4 juta daripada skim itu manakala Ng menerima AS$35.1 juta.

Ng berhujah di Mahkamah Rayuan bahawa sabitannya dicemari beberapa keputusan salah yang dibuat hakim perbicaraan, termasuk dakwaan bahawa hakim itu “merosakkan” pembelaannya apabila peguamnya dihalang daripada mengemukakan rakaman panggilan video antara isterinya dan Leissner, yang menurutnya boleh membuktikan bayaran AS$35 juta itu bukan sogokan.

Dalam panggilan itu, Ng berkata isterinya meminta Leissner membantu mencari dokumen berkaitan satu pelaburan yang didakwa wujud antara isterinya dan isteri Leissner ketika itu, yang menurut Ng akan menjelaskan sumber dana tersebut.

Bagaimanapun, pendakwa raya menolak hujah tersebut, dengan menyatakan rakaman itu tidak membuktikan isteri Ng pernah membuat pelaburan bersama isteri Leissner sebelum ini.

Ng disabitkan atas tiga pertuduhan, termasuk bersubahat melanggar undang-undang anti-rasuah Amerika Syarikat dan melakukan pengubahan wang haram. – 7 Disember, 2025

Topics

 

Hangat

Short-lived La Niña expected in early 2026, but stable weather to follow

MetMalaysia forecasts cool conditions and brief shifts in rainfall patterns before returning to normal

Heritage players controversy: Be ready for the worst, says TMJ

Despite not having an official role in the national football set up, Johor Crown Prince vows will fight up to the Court of Arbitration for Sports (CAS) if FIFA’s decision not in Malaysia’s favour

Over 23.6 million to benefit as new electricity tariff kicks in July 1

The Energy Commission has set a new average base tariff of 45.40 sen/kWh for RP4, slightly lower than before, bringing overall electricity costs down by up to 19% compared to the previous regulatory period

Related