HEADLINES

Operasi gempur Selayang: 843 Pati dicekup, 2 warga tempatan ditahan

MB Selangor berkata serbuan dibuat susulan aduan penduduk mengenai lambakan pekerja asing dan aktiviti perniagaan haram yang berleluasa

10:13 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Seramai 843 pendatang tanpa izin, termasuk 35 wanita, ditahan dalam operasi bersepadu besar-besaran di Selayang Baru malam tadi, susulan aduan penduduk mengenai lambakan warga asing di kawasan berkenaan.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, yang turut menyertai operasi itu, berkata semua yang ditahan berusia antara 21 hingga 53 tahun dan berasal dari Indonesia, Bangladesh, India, Myanmar, Nepal serta Pakistan.

“Operasi ini dijalankan selepas menerima aduan penduduk mengenai kehadiran pekerja asing dalam jumlah besar, termasuk yang menjalankan perniagaan di tepi jalan,” katanya pada sidang media selepas operasi.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Imigresen, Datuk Lokman Effendi Ramli; Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar; dan Pengarah Imigresen Selangor, Khairrul Aminus Kamaruddin.

Amirudin berkata, mereka yang ditahan disyaki melakukan pelbagai kesalahan termasuk tiada dokumen pengenalan, melanggar syarat pas, tinggal lebih masa serta menggunakan kad tidak diiktiraf. Semua dibawa ke Depoh Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut.

Operasi itu membabitkan 358 anggota daripada pelbagai agensi keselamatan termasuk Jabatan Imigresen, polis, tentera, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan pihak berkuasa tempatan.

Menurut Amirudin, operasi seumpama itu sebelum ini dilaksanakan di beberapa lokasi lain seperti Seri Muda, Shah Alam dan Pasar Borong Selangor, Seri Kembangan, dan memberi impak positif kepada keselamatan serta ketenteraman awam.

“Operasi akan diteruskan bagi mengesan, menangkap, mendakwa dan mengusir warga asing yang melanggar undang-undang selaras Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007,” katanya.

Dalam operasi sama, dua warga tempatan turut ditahan kerana disyaki terbabit penyalahgunaan dadah.

Mengulas dakwaan kos sewa rendah menjadi tarikan warga asing ke Selayang Baru, Amirudin menjelaskan faktor itu dipengaruhi permintaan dan penawaran, selain lokasinya yang strategik, hanya 20 minit dari pusat bandar dan menjadi tumpuan aktiviti perdagangan serta pekerjaan harian.

Beliau turut mengingatkan majikan supaya menggaji pekerja asing melalui saluran sah bagi mengelakkan gangguan operasi perniagaan dan memastikan keselamatan negara terus terpelihara. – 7 Disember, 2025

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

ASNB announces RM2.18 bil dividend payout

ASB 2 declares distribution of 5.50 sen per unit to 614,309 unitholders while ASM declares five sen per unit to 740,513 unitholders

Related