HEADLINES

Mesyuarat Khas Menteri Luar ASEAN mengenai konflik Kemboja-Thailand hari ini

9:07 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Menteri-menteri luar dan pegawai dari Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) akan berhimpun di ibu negara Malaysia pada tengah hari Isnin bagi menghadiri mesyuarat khas untuk membincangkan situasi semasa antara Kemboja dan Thailand.

Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM), yang akan dipengerusikan oleh Menteri Luar Malaysia Datuk Seri Mohamad Hasan, dijangka dihadiri seramai 23 menteri luar dan pegawai, termasuk Setiausaha Agung ASEAN Dr Kao Kim Hourn.

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Luar Kemboja Prak Sokhonn akan menghadiri mesyuarat itu, menurut pengesahan Kementerian Luar negara berkenaan pada Ahad dalam satu kenyataan yang dimuat naik di Facebook.

Jumaat lalu, Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Kementerian Luar Thailand, Nikorndej Balankura turut mengesahkan bahawa Menteri Luar negara itu Sihasak Phuangketkeow akan menghadiri mesyuarat berkenaan.

Menteri-menteri luar lain yang dijangka hadir ialah Sugiono dari Indonesia, Thongsavanh Phomvihane (Laos), Dr Vivian Balakrishnan (Singapura), Bendito dos Santos Freitas (Timor-Leste) serta Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina Theresa P. Lazaro.

Brunei dijangka diwakili oleh Menteri Kedua Hal Ehwal Luar Negeri Dato Seri Setia Erywan Pehin Datu Pekerma Jaya Mohd Yusof, manakala Vietnam dijangka menghantar Timbalan Menteri Luar Dang Hoang Giang. Pegawai Myanmar pula dijangka menyertai mesyuarat itu secara maya.

Kementerian Luar Malaysia yang juga dikenali sebagai Wisma Putra dalam satu kenyataan pada Ahad memaklumkan bahawa mesyuarat khas itu diadakan selaras dengan keputusan Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim, Kemboja dan Thailand pada 11 Disember lalu.

Menurut Wisma Putra, mesyuarat berkenaan akan memberikan satu wadah kepada Menteri-Menteri Luar ASEAN untuk bertukar pandangan mengenai situasi semasa antara Kemboja dan Thailand, serta mempertimbangkan langkah-langkah yang boleh diambil oleh ASEAN bagi menyokong usaha berterusan untuk meredakan ketegangan dan menghentikan permusuhan, demi keamanan dan kestabilan antara kedua-dua negara anggota ASEAN itu serta rantau ini secara keseluruhan.

Wisma Putra berkata penganjuran Mesyuarat Khas terbabit mencerminkan komitmen terhadap perpaduan dan solidariti ASEAN, serta pematuhan kepada Kepusatan ASEAN dalam memastikan keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau, selaras dengan Piagam ASEAN dan Triti Persahabatan dan Kerjasama di Asia Tenggara (Treaty of Amity and Cooperation in Southeast Asia – TAC). – 22 Disember, 2025

Topics

 

Hangat

Jana Wibawa: Muhyiddin’s trial continues as appeals court rejects bid to reinstate acquittal

Five-judge panel dismisses Bersatu president’s application to review findings which led to four charges related to RM232.5 mil in bribes being reinstated in Feb

Azri Iskandar sahkan Datuk Noora Kay kekasihnya dan bakal berkahwin

Azri Iskandar mengesahkan bahawa usahawan wanita bernama Datuk Noora Kay adalah kekasihnya dan mereka juga bakal mendirikan rumah tangga setelah setahun menjalinkan hubungan selepas diperkenalkan penerbit filem, Datuk Ayu Puteh

‘We’re compliant’: ECRL assures public of environmental standards in Selangor project

DoE approval confirms adherence to environmental guidelines amid excavation of Gombak Tunnel

Related