KUALA LUMPUR – Ketua Bahagian Bersatu Port Dickson, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Chegu Bard akan menyerahkan maklumat mengenai dakwaan aliran masuk tunai berskala besar ke dalam akaun seorang pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), esok.
Menurut BadruL Hisham, beliau akan hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada jam 12 tengah hari bagi menyerahkan maklumat yang telah dikongsi kepada media selain maklumat tambahan berkaitan kes rasuah berprofil tinggi, selaras dengan jemputan daripada Ketua Pesuruhanjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
“Saya menyambut baik jemputan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki, bagi mengemukakan maklumat berkaitan dakwaan aliran masuk tunai berskala besar ke dalam akaun seorang pegawai kanan tentera, sebagaimana yang telah saya dedahkan sebelum ini.
“Saya berharap kehadiran saya dapat disambut secara profesional dan tertib, serta diberi peluang untuk bertemu secara langsung dengan Tan Sri Azam Baki bagi membolehkan penjelasan menyeluruh dan penyampaian maklumat penting dilakukan dengan berkesan,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau juga mengalu-alukan penyertaan rakyat Malaysia yang benar-benar komited dan berintegriti dalam usaha membanteras rasuah demi kepentingan negara.
Terdahulu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) meminta Badrul Hisham tampil membuat laporan rasmi berhubung dakwaannya mengenai seorang pegawai kanan ATM terlibat rasuah.
Badrul Hisham yang membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi semalam mendakwa hasil semakan dokumen forensik diterimanya secara tanpa nama menunjukkan terdapat kemasukan wang secara bulanan dalam jumlah puluhan ribu ringgit ke dalam akaun yang dikaitkan dengan pegawai kanan tentera berkenaan dan ahli keluarganya.
Beliau turut menyerahkan dokumen-dokumen maklumat bertaraf rahsia berkaitan perolehan, tender dan rundingan dalaman kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Sementara Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan Kementerian Pertahanan (MINDEF) akan menunggu hasil siasatan rasmi sebelum mengambil tindakan seterusnya berhubung dakwaan berkenaan.
Beliau memberitahu, MINDEF menghormati sepenuhnya proses undang-undang yang sedang dan akan dijalankan, selaras dengan komitmen kementerian terhadap pematuhan undang-undang serta prinsip keadilan. – 23 Disember, 2025

