KUALA LUMPUR – Suasana politik dalam Perikatan Nasional (PN) kembali bergolak apabila Dewan Pemuda PAS Kawasan Tasek Gelugor tampil dengan desakan lantang agar PAS Pusat segera memutuskan hubungan dengan Bersatu di semua peringkat.
Dalam kenyataan penuh emosi malam tadi, pergerakan itu turut menuntut agar semua lantikan membabitkan ahli Bersatu di negeri-negeri pentadbiran PN ditamatkan serta-merta.
Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Tasek Gelugor, Mohamad Ikhwan Afiq Mohamad Anwar, menegaskan PAS perlu bertindak lebih berani dengan merampas kembali kerusi Parlimen dan DUN yang pernah dimenangi Bersatu di bawah logo PN dan PAS pada PRU serta PRN lalu.
“Tindakan ini adalah wajar dan adil untuk dipertimbangkan susulan tindakan khianat dan tikam belakang oleh Bersatu di peringkat pusat dan Perlis yang berkomplot untuk menumbangkan Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli,” katanya.
Ikhwan Afiq tidak berselindung apabila menuduh Bersatu sebagai parti oportunis yang hanya tahu menumpang kekuatan PAS.
“Bersatu ternyata sebuah parti yang hanya tahu mengambil kesempatan terhadap kekuatan dan keikhlasan PAS. Bersatu hanya tahu menumpang dan menunggang slogan penyatuan ummah untuk kepentingan dan keuntungan politik semata-mata,” ujarnya.
Nada kenyataan itu semakin tegas apabila beliau menekankan bahawa PAS tidak boleh lagi berdiam diri.
“Sudah tiba masanya PAS tegas dan berani untuk memutuskan hubungan dengan Bersatu atas sebab pengkhianatan ini. Ini bukan kali pertama, malah sudah berkali-kali namun PAS tetap berjiwa besar untuk mempertahankan agenda besar penyatuan ummah,” katanya.
Beliau menambah, kesabaran PAS selama ini hanya dibalas dengan sikap tidak ikhlas.
“Bersatu tidak pernah ikhlas dan menghargai persahabatan ini. Ternyata PAS hanya dilihat sebagai batu loncatan semata-mata untuk memenangi pilihan raya dan meraih laba politik,” katanya lagi.
“Oleh yang demikian, Dewan Pemuda PAS Kawasan Tasek Gelugor mewakili suara akar umbi di semua peringkat untuk menggesa PAS Pusat membuat keputusan tegas dan tuntas bagi memutuskan hubungan dengan Bersatu serta-merta,” tegasnya. – 29 Disember, 2025

