KUALA LUMPUR – Misteri kehilangan pelakon Nadia Kesuma, 50, yang gagal dikesan di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz di Jeddah, Khamis lalu terjawab apabila disahkan meninggal dunia pada hari sama.
Khabar hiba itu dikongsi suami Allahyarham, Prof Dr Muhammad Kamarul Kabilan Abdullah, 57, yang mengumumkan pemergian isteri tercinta melalui hantaran Facebook (FB), awal pagi tadi.
Dalam hantaran itu, Muhammad Kamarul menyatakan Allahyarham Nadia meninggal di Jeddah pada jam 8.07 pagi, Khamis lalu.
“Dengan penuh rasa dukacita dan kesedihan yang amat mendalam, saya ingin memaklumkan bahawa isteri tercinta saya, Nadiah Kasumawati Abdul Karim, telah kembali ke rahmatullah dengan tenang di tanah para anbiya, Jeddah, pada 15 Januari lalu, pada jam 8.07 pagi.
“Semoga Allah SWT mengurniakan keampunan dan rahmat-Nya ke atas roh arwah.
“Wahai isteriku, engkau akan sentiasa dalam ingatanku. Aku bersyukur kerana dapat mengiringimu ke destinasi terakhir. Aku mencintaimu. Insya-Allah, kita akan bertemu kembali, mudah-mudahan di syurga. Sesungguhnya kami datang daripada Allah dan kepada-Nya kami kembali,” katanya pada hantaran itu.
Bagaimanapun, Muhammad Kamarul tidak menyatakan punca kematian Allahyarham Nadia pada hantaran itu.
Terkini, Muhammad Kamarul turut meminta menunggu kenyataan rasmi yang akan dikeluarkan Wisma Putra, hari ini berhubung punca pemergian Allahyarham.
Muhammad Kamarul berkata, maklumat mengenai pemergian Allahyarham Nadia Kesuma sudah diberi kepada Wisma Putra.
“Wisma Putra akan keluarkan kenyataan rasmi.
“Mereka (pihak Wisma Putra) sudah minta daripada saya dan segala-galanya akan dikongsikan. Saya fikir mereka akan umumkan sekejap lagi,” katanya lapor BH.
Sementara itu Presiden Gagasan Transformasi Anak Seni (GTAS) Anne Abdullah turut memuat naik hantaran mengenai pemergian Nadia di Facebook hari ini.
“Selamat jalan adik akak sayang dunia akhirat dengan penuh rasa dukacita dan hati yang berat.
“Setelah segala usaha, siasatan dan bantuan daripada semua pihak, kami ingin memaklumkan bahawa sahabat kita yang tercinta, Nadia Kesumawati, telah kembali ke rahmatullah di Jeddah.
“Pemergian ini amat menyedihkan dan meninggalkan kesan yang mendalam buat saya dan kita semua,” katanya.
Anne turut mengucap terima kasih kepada individu dan pihak yang membantu termasuk mendoakan sepanjang pencarian dilakukan.
Beliau juga memohon keluarga Allahyarham tabah dan diberi kekuatan dalam berdepan ujian yang berat.
“Terima kasih yang tidak terhingga kepada setiap individu dan pihak yang telah membantu, berusaha, mendoakan serta memberi sokongan sepanjang proses pencarian dan siasatan ini.
“Semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa arwah, menerima segala amal kebaikannya, dan menempatkannya dalam kalangan orang-orang yang beriman dan berkasih sayang dengan-Nya. Al-Fatihah
“Semoga keluarga arwah diberi ketabahan, kekuatan dan ketenangan dalam menghadapi ujian yang berat ini. Sesungguhnya kita milik Allah dan kepada-Nya kita kembali,” tulisnya lagi.
Allahyarham Nadia dilapor gagal dikesan selepas penerbangannya ke London, United Kingdom (UK) dari Kuala Lumpur transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdul Aziz, Khamis lalu.
Bagaimanapun, Wisma Putra mengesahkan Nadia yang dilapor hilang di Arab Saudi sebelum ini, dikesan sudah meninggalkan lapangan terbang Jeddah. – 18 Januari, 2026
