KUALA LUMPUR – Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari menegaskan seramai 15 pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang dikaitkan dengan budaya ‘Yeye’ dalam kem tentera akan berdepan tindakan tegas termasuk pendakwaan di Mahkamah Tentera.
Beliau berkata, kementeriannya mempunyai peraturan disiplin yang jelas dan tidak membenarkan sebarang perlakuan yang mencemarkan budaya ketenteraan, sama ada membabitkan Tentera Darat Malaysia (TDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mahupun Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
Sekiranya berlaku pelanggaran disiplin, katanya, tindakan akan diambil di peringkat dalaman melalui jawatankuasa siasatan sebelum kes dibawa ke Mahkamah Tentera untuk pengadilan.
“Kita tahu dalam sistem ketenteraan kita mempunyai Mahkamah Tentera dan mereka yang terbabit akan diberikan pengadilan di situ.
Di situ, mereka diberi keadilan sama ada tuduhan itu benar atau tidak dan mereka boleh menjawab segala pertuduhan sebelum sebarang hukuman dijatuhkan,” katanya memetik BH.
Adly mengulas kenyataan Panglima Tentera Darat, Jeneral Datuk Azhan Md Othman yang mengesahkan 15 pegawai dikenal pasti terbabit dalam aktiviti tidak bermoral dikaitkan dengan budaya ‘Yeye’ yang tular di media sosial.
Terdahulu, Ahli Parlimen Alor Gajah itu menghadiri Majlis Makan Malam Yee Sang sempena Hiasan Tahun Baharu Cina 2026 bertemakan Gadis Bunga di Kampung Permai Machap Umboo Baru, Melaka.
Beliau menegaskan Kementerian Pertahanan komited membentuk budaya berintegriti dalam kalangan warga ATM, meskipun mengakui perubahan budaya dalam organisasi ketenteraan memerlukan masa.
“Apa yang berlaku, sama ada ia terpencil atau tidak, jika ia bukan budaya kita (ATM), tindakan akan diambil mengikut proses dan peraturan sedia ada termasuk melalui Mahkamah Tentera,” katanya.
Adly turut menekankan bahawa budaya hedonisme sama sekali tidak boleh diterima, selaras dengan peringatan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam perutusan tahun baharu kementerian itu baru-baru ini. – 18 Januari 2026
