KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim amat kecewa apabila berlaku kes rasuah dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sehingga ke peringkat tertinggi.
Dalam titah ucapan baginda ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-15 hari ini, Seri Paduka berkata, amalan rasuah harus diperangi secara besar-besaran.
“Saya pernah sebut dulu saya datang ke Kuala Lumpur untuk memburu perasuah dan nampaknya saya telah berjaya.
“Saya amat kecewa apabila berlaku kes rasuah dalam Angkatan Tentera Malaysia sampai peringkat tertinggi, agaknya selepas ini saya terpaksa lantik Sarjan saja jadi PAT (Panglima Angkatan Tentera).
“Ini hanyalah sekelumit atau segunung atau tip of the iceberg. Saya yakin ada ramai lagi di luar sana sama ada di Jabatan Kastam, Imigresen, polis dan sebagainya…serta termasuk juga yang berada di dalam dewan akan terus diburu sampai jumpa,’’ demikian titah baginda.

Menurut Seri Paduka, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menjalankan siasatan kes rasuah dengan cepat, tegas dan sempurna tanpa mengira pangkat atau kedudukan.
“Kerajaan juga perlu sediakan laluan khas di mahkamah supaya perbicaraan kes rasuah dapat diselesaikan dengan segera,” tegas baginda.
Bukan hanya penerima rasuah, titah baginda, pemberi dan ejen yang bersubahat juga perlu diambil tindakan.
“Amalan rasuah perlu diperangi secara besar-besaran, rakyat harus menjadi mata-mata dan melaporkan sebarang bentuk jenayah rasuah.
“Kepada semua ahli Yang Berhormat (YB) dan penjawat awam, ingatlah bahawa jawatan yang disandang adalah amanah rakyat dan negara.
“Jika awak menyalah guna kuasa, menyelewang dana awam, menerima rasuah atau bersubahat melindungi perasuah, awak adalah pengkhianat negara,’’ titah Sultan Ibrahim.
Berdasarkan takwim di laman rasmi Parlimen, persidangan Dewan Rakyat akan berlangsung selama 20 hari dengan tumpuan utama ialah perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja oleh Ahli-Ahli Parlimen yang dijadual bermula esok hingga 29 Januari, diikuti jawapan daripada kementerian berkaitan selama empat hari bermula 4 Februari.
Takwim itu turut menyenaraikan sesi pembentangan rang undang-undang (RUU) dan urusan kerajaan yang lain akan berlangsung selama lapan hari bermula 11 Februari hingga 3 Mac.
Menurut takwim berkenaan, Parlimen tidak bersidang pada 2 dan 3 Februari berikutan sambutan Hari Wilayah Persekutuan dan Hari Thaipusam, serta pada 16 hingga 19 Februari susulan sambutan Tahun Baharu Cina dan awal Ramadan pada minggu itu.
Persidangan Dewan Negara pula akan berlangsung selama 13 hari bermula 23 Februari. – 19 Januari, 2026

