HEADLINES

Bersatu Lembah Pantai, Larut umum bubar serta-merta

Bersatu Lembah Pantai dan Larut mengambil keputusan berkenaan selepas hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Muhyiddin sebagai presiden

9:53 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Krisis dalaman Bersatu semakin meruncing apabila dua bahagian parti berkenaan mengumumkan pembubaran parti dengan alasan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pemecatan Datuk Seri Hamzah Zainudin yang merupakan Timbalan Presiden parti itu.

Bahagian-bahagian yang mengumumkan pembubaran berkenaan ialah Bersatu bahagian Larut dan Pantai Dalam.

Dalam kenyataannya, Mohd Noh Daud yang merupakan Timbalan Ketua Bersatu Larut berkata, mereka mendapat mandat penuh daripada pimpinan bahagian itu untuk membubarkan parti berkenaan.

Ia juga susulan pemecatan Ketua Bahagian Larut, Mohd Hassundi Hamzah, yang dipecat oleh Lembaga Disiplin beberapa hari lalu.

“Setelah Ketua Bahagian kami dipecat, kami mendapat mandat penuh daripada Naib Ketua Bahagian, barisan Exco dan ketua cawangan dengan ini mengisytiharkan pembubaran Bahagian Larut,’’ katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Bersatu Lembah Pantai, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, bahagian itu sebulat suara bersetuju untuk dibubarkan berkuatkuasa serta-merta.

“Kami bersetuju dan bersepakat bersama-sama untuk membubarkan Bersatu Lembah Pantai secara rasmi.

“Majoriti kepimpinan bahagian telah menghadiri Program Reset anjuran Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee sebagai solidariti dan deklarasi bersama Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang memperlihatkan sokongan luar biasa daripada kepimpinan dan akar umbi parti di seluruh negara.

“Saya telah membuat pertimbangan yang menyeluruh, berlandaskan akal dan tanggungjawab perjuangan,” katanya dalam kenyataan.

Pada Sabtu, Hamzah Zainuddin yang dipecat sebagai Timbalan Presiden Bersatu memutuskan untuk tidak mengemukakan sebarang rayuan kepada Lembaga Disiplin berhubung pemecatannya sebagai ahli parti.

Hamzah berkata beliau kini merupakan Ahli Parlimen Bebas yang menerima sokongan daripada majoriti Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN), iaitu seramai 19 orang daripada 25 Ahli Parlimen Bersatu.

“Saya tidak akan merayu. ‘I’m a free man now.’ Saya tidak perlu lagi mendengar perkara yang terpaksa dilakukan tanpa kerelaan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Larut. – 15 Februari, 2026

Topics

 

Hangat

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Don’t add fuel to the haze: public urged to stop open burning as air quality dips

Winds from Sumatra carry smoke across west coast as dry spell worsens conditions

Related