HEADLINES

8.1 juta penerima tebus SARA RM100 setakat Jumaat, cecah perbelanjaan RM780 juta: Amir Hamzah

Lebihan peruntukan SARA Untuk Semua yang tidak ditebus oleh penerima berkemampuan akan disalurkan semula kepada golongan lebih memerlukan termasuk OKU dan pesakit kronik dengan tahun lepas RM150 juta dipulangkan

2:55 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Seramai 8.1 juta penerima telah menebus bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) Untuk Semua bernilai RM100 secara one-off setakat Jumaat lepas dengan perbelanjaan hampir RM780 juta.

Menurut Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, SARA Untuk Semua juga kali ini telah melebarkan kategori barangan boleh dibeli termasuk barangan beku sekali gus memberi lebih pilihan kepada penerima untuk memenuhi keperluan harian.

“Sambutan terhadap inisiatif itu amat menggalakkan dan mencerminkan keberkesanan pendekatan kerajaan dalam memastikan bantuan sampai secara langsung kepada rakyat bagi meringankan beban kos sara hidup,’’ katanya, lapor Bernama.

Amir Hamzah berkata demikian selepas Sesi Turun Padang Kampung Angkat Madani Menteri Kewangan II di Kampung Pulau Betong di Balik Pulau, hari ini.

Menurut Amir Hamzah, lebihan peruntukan SARA Untuk Semua yang tidak ditebus oleh penerima berkemampuan akan disalurkan semula kepada golongan lebih memerlukan termasuk Orang Kurang Upaya (OKU) dan pesakit kronik.

Tahun lepas, katanya, RM150 juta dipulangkan bagi program khusus untuk golongan rentan.

Beliau berkata sejak tiga tahun kebelakangan ini, kerajaan melaksanakan pembaharuan fiskal melalui pendekatan bersasar termasuk penyasaran subsidi diesel serta petrol bagi mengurangkan ketirisan dan penjimatan diperoleh diagihkan semula kepada rakyat melalui peningkatan peruntukan SARA dan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Jelasnya, peruntukan bagi SARA dan STR kini mencecah RM15 bilion berbanding RM6 bilion semasa pelaksanaan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) sekali gus memastikan bantuan disalurkan lebih adil dan tepat kepada kumpulan sasaran.

Datuk Seri Amir Hamzah Azizan – Gambar fail Bernama, 15 Februari, 2026

Selain itu, ujar Amir Hamzah, usaha menangani kos sara hidup turut diperkukuh melalui pelaksanaan program di bawah payung Rahmah melibatkan penganjuran jualan barangan keperluan pada harga lebih rendah di seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) negara ini.

Beliau berkata jualan Rahmah diadakan sehingga tiga kali sebulan di setiap DUN sekali gus memberi peluang lebih meluas kepada rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga mampu milik, terutamanya ketika tekanan kos sara hidup masih dirasai.

Amir Hamzah turut memberitahu, kerajaan juga sedang melaksanakan pembaharuan struktur ekonomi di bawah kerangka Ekonomi Madani dengan memberi tumpuan kepada usaha menaikkan siling ekonomi dan lantai hidup rakyat, khususnya melalui peningkatan pendapatan.

“Antara langkah diambil termasuk menaikkan gaji minimum kepada RM1,700 selain melaksanakan pelarasan gaji penjawat awam sebanyak dua kali dalam tempoh dua tahun dengan peningkatan purata sehingga 15 peratus.

“Selain itu, syarikat berkaitan kerajaan (GLIC) turut beralih daripada gaji minimum kepada pelaksanaan gaji wajar dengan kadar RM3,100 sebagai gaji minimum yang diharap dapat menjadi isyarat kepada sektor swasta untuk mengikut pendekatan sama,” katanya. – 15 Februari, 2026

Topics

 

Hangat

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

No, Malays could not fly: Scholars call out pseudohistory

UPSI and DBP academics urge discipline in handling history after Prof Solehah’s claims of Malays teaching China ‘flying kung fu’

Related