KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memberi amaran bahawa lebih ramai berada dalam radar Baginda dalam misi memerangi rasuah tanpa kompromi di semua jabatan dan agensi kerajaan.
Menurut Seri Paduka, rasuah adalah pengkhianatan terhadap amanah rakyat dan tidak akan sama sekali ditoleransi dalam pentadbiran negara.
“Jangan ingat memerangi rasuah ini hanya bertumpu pada segelintir jabatan, atau mereka yang memberi dan menerima malah berhati-hati juga mereka di Polis Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan pelbagai lagi.
“Tidak terlepas juga Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
“Tidak kira apa jua pangkat anda begitu juga ejen-ejen yang menjadi ‘orang tengah’ selain menjadi pembekal pelbagai peralatan, pakaian serta perubatan, anda juga dalam ‘radar’,’’ titah Seri Paduka pada Royal Press Office (RPO) hari ini.
Menurut Seri Paduka, rasuah adalah pengkhianatan terhadap amanah rakyat dan tidak akan sama sekali ditoleransi dalam pentadbiran negara.
“Bak kata pepatah ‘siapa makan cili, dia terasa pedas’, jangan anda semua ingat saya tidak tahu apa-apa, saya juga mempunyai risikan saya sendiri,” titah Seri Paduka Baginda.
Seri Paduka Baginda bertitah usaha membanteras rasuah tidak boleh bersifat kosmetik atau sekadar retorik, kerana tiada siapa boleh terlepas dari undang-undang.
Titah Sultan Ibrahim, sekiranya terdapat pegawai yang gagal melaksanakan tanggungjawab dengan amanah dan berintegriti, maka pertukaran perlu dilaksanakan tanpa berlengah.
“Saya ada alternatif lain. Jika ada pegawai yang tidak mampu melaksanakan amanah dengan jujur, berikan peluang kepada mereka yang lebih layak dan bersih untuk menjalankan tanggungjawab itu,” titah Seri Paduka Baginda. – 16 Februari, 2026
