KUALA LUMPUR – Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang merampas sejumlah 186,737 kilogram (kg) sisa elektronik (e-waste) bernilai lebih RM2.1 juta dalam operasi bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor di Pelabuhan Utara, 3 Februari lalu.
Pengarah Kastam Pahang, Mohd Asri Seman, berkata rampasan itu melibatkan lapan kontena yang ditahan sekitar jam 11 pagi.
“Hasil pemeriksaan lanjut yang dijalankan mendapati komoditi barangan terbabit adalah sisa elektronik (e-waste) dipercayai diimport tanpa permit import serta diikrar dagangan import secara tidak betul dalam borang pengikraran,” katanya pada sidang media di Pelabuhan Utara hari ini.
Beliau menjelaskan, rampasan itu terdiri daripada sampah bercampur wayar, kabel dan komponen komputer dengan nilai anggaran RM2,152,476. Siasatan mendapati lima kontena berasal dari Kanada, dua dari Sepanyol dan sebuah dari Croatia.
Larangan import dan tindakan rentas negeri
Mohd Asri menegaskan bahawa pengimportan e-waste adalah larangan bersyarat, hanya dibenarkan mengikut peruntukan di bawah Butiran 54, Bahagian 1, Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023, yang memerlukan kelulusan Ketua Pengarah Alam Sekitar.
Beliau turut menekankan bahawa operasi penguatkuasaan JKDM tidak terbatas kepada sempadan negeri.
“Bagi Bahagian Penguatkuasaan JKDM, kita tidak ada sempadan. Mana-mana bahagian penguatkuasaan di seluruh negara, sekiranya kita mendapat maklumat, bahagian negeri berkenaan boleh mengambil tindakan,” katanya.
“Contohnya JKDM Selangor boleh mengambil tindakan terhadap aktiviti haram di Pahang atau Kedah. Apabila terima maklumat, polisi JKDM ialah negeri yang menerima maklumat perlu kendalikan kes berkenaan sehingga ke pendakwaan di mahkamah, walaupun kes berlaku di negeri lain,” jelasnya.
Rampasan besar ini menyorot isu penyeludupan sisa elektronik antarabangsa yang semakin mencabar, dengan Malaysia menjadi destinasi sasaran bagi barangan terlarang. Tindakan JKDM dan JAS menunjukkan komitmen pihak berkuasa untuk mengekang kemasukan e-waste yang boleh menjejaskan alam sekitar dan kesihatan awam. – 19 Februari, 2026
