KUALA LUMPUR – Subsidi bahan api meningkat kepada RM3.2 bilion sebulan susulan konflik yang melanda Asia Barat ketika ini, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Menurutnya, subsidi kerajaan bagi petrol RON95 meningkat RM2 bilion berbanding RM700 juta sebelum konflik berkenaan manakala subsidi diesel naik kepada RM1.2 bilion.
Amir Hamzah berkata, kerajaan dapat menampung beban kenaikan tersebut susulan reformasi dan konsolidasi fiskal yang dibuat dalam tempoh tiga tahun kerajaan Madani memerintah.
“Walaupun Kerajaan Madani menangani implikasi kenaikan harga minyak global, kerajaan akan terus mengambil penekanan untuk memastikan rakyat disokong dan dapat mengekalkan pemberian inisiatif BudiI95. Ini memberikan sedikit kelegaan kepada rakyat.
“Malaysia mempunyai bekalan tenaga, petrol dan diesel yang mencukupi tetapi kita kena ingat, kita tidak tahu berapa lama konflik di Asia Barat akan berlangsung jadi adalah penting juga kita melihat apa-apa langkah-langkah kehadapan yang kita boleh buat untuk mengurangkan beban yang ada dan juga memastikan kita menggunakan ruang ni untuk membuat pembaharuan yang baik,’’ katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media pasca Mesyuarat Kabinet Khas yang diadakan hari ini.
Mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim itu diadakan bagi meneliti kedudukan fiskal negara dan memantau secara rapi perkembangan situasi di Iran susulan konflik di Asia Barat.
Dalam pada itu, Amir Hamzah memberitahu, meskipun negara mempunyai bekalan minyak yang mencukupi sehingga Mei ini, namun ia tidak bermakna kerajaan tidak mencari bekalan baharu dan ia terus dilakukan menerusi Petronas serta syarikat minyak lain di dalam negara.
“Ada banyak spekulasi di luar sana tapi kita fokus apa yang ada dalam kawalan kita iaitu memastikan bekalan dalam negara mencukupi.
“Kestabilan bekalan adalah perkara penting tapi ini tidak bermakna kita tidak cari bekalan baru untuk ganti apa yang kita guna dan ia terus dilakukan mengguna Petronas dan syarikat lain. Ini juga akan berjaya memanjangkan bekalan dalam negara,’’ katanya.
Beliau memberitahu, meskipun kerajaan terpaksa menanggung subsidi yang agak banyak buat masa ini namun negara boleh bertahan.
“Perdana Menteri pun kata kita bertahan dalam jangka dua bulan in tetapi kalau harga minyak berterusan, kita mungkin kena bergerak kepada pendekatan yang lain.
“Memandangkan kita pun tidak tahu berapa lama isu ni akan berlarutan jadi yang pentingnya kita bergerak dari persediaan jangka pendek kepada pertengahan dan jangka panjang serta mengambil langkah-langkah yang sepatutnya.
“Kita juga ada peluang untuk merancakkan ekonomi dengan cara lain, jadi kalau ekonomi sini masih kukuh, ini memberi peluang untuk Malaysia menjadi lebih baik lagi dan stabil berbanding tempat-tempat yang lain,’’ katanya.
Beliau juga memberitahu, prestasi pertumbuhan ekonomi negara memberangsangkan pada 2025 dan ia menjadi pemangkin untuk tahun ini di tengah-tengah ketidaktentuan global serta cabaran geopolitik.
“Alhamdulillah….tahun lepas kita dapat lihat ekonomi Malaysia kembali rancak. Pada suku keempat 2025, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) adalah 6.3 peratus manakala bagi keseluruhan tahun itu 5.2 peratus, dipacu oleh pembaharuan ekonomi sedia ada, pelaburan domestik serta perbelanjaan dalam negara.
“Kita berpendapat isu-isu ini akan terus mempengaruhi (prestasi ekonomi) tahun ini. (Namun) Insya-Allah, kita telah pun bermula dengan keadaan lebih stabil dan lebih kuat,” katanya. – 13 Mac, 2026

