HEADLINES

Konflik Iran, 45 juta penduduk dunia mungkin hadapi kelaparan akut: PBB

Angka itu akan menambah jumlah sedia ada seramai 318 juta orang di seluruh dunia yang sudahpun menghadapi ketakjaminan makanan akut

9:05 AM MYT

 

GENEVA – Kira-kira 45 juta orang di seluruh dunia berisiko menghadapi tahap kelaparan akut sekiranya konflik di Iran tidak berakhir menjelang pertengahan tahun ini, menurut analisis Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang dikeluarkan pada Selasa, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

Angka itu akan menambah jumlah sedia ada seramai 318 juta orang di seluruh dunia yang sudahpun menghadapi ketakjaminan makanan akut – yang bermaksud mereka tidak mampu mendapatkan makanan yang mencukupi sehingga menjejaskan nyawa atau mata pencarian, menurut program itu.

“Jika konflik ini berterusan, ia akan menghantar gelombang kejutan ke seluruh dunia, dan keluarga yang sememangnya tidak mampu membeli hidangan seterusnya akan menerima impak paling teruk,” kata Timbalan Pengarah Eksekutif WFP, Carl Skau.

“Tanpa tindak balas kemanusiaan yang dibiayai secukupnya, ia boleh membawa bencana kepada berjuta-juta penduduk yang kini berada di ambang krisis,” katanya.

WFP memaklumkan bahawa tindakan Iran yang hampir menyekat sepenuhnya Selat Hormuz telah mengganggu penghantaran makanan dari pusat logistik di Dubai, memandangkan kapal-kapal terpaksa menggunakan laluan lencongan yang jauh selain berdepan peningkatan kos akibat harga minyak yang tinggi.

Konflik itu kini memberi kesan di peringkat global dengan “golongan paling rentan di dunia” menjadi pihak yang paling terdedah kepada kesan rantaian terbabit, kata agensi itu.

Krisis itu diburukkan lagi dengan pemotongan drastik bajet bantuan kemanusiaan oleh Amerika Syarikat (AS) dan beberapa kerajaan lain baru-baru ini.

Pada 2025, WFP menerima pembiayaan 40 peratus lebih rendah berbanding tahun sebelumnya, yang memaksa agensi itu mengurangkan catuan makanan untuk kanak-kanak yang mengalami kekurangan zat makanan akut.

Skau turut menekankan situasi di Afghanistan, yang menyaksikan kini hanya seorang daripada setiap empat kanak-kanak yang terjejas dapat diberikan bantuan. – 18 Mac, 2026

Topics

 

Hangat

Court orders MYAirline co-founder to repay over RM8mil to investors

Datuk Allan Goh and four associated companies are directed to return funds after failing to meet financial obligations to 15 investors

FAM at 99: a journey from colonial roots to Malaysia’s football milestones

The Football Association of Malaysia (FAM) marks its 99th anniversary today, tracing a journey from its colonial-era beginnings in 1926 to becoming the custodian of Malaysian football

AFC to name 2031 and 2035 Asian Cup hosts in joint announcement

Record number of bids for 2031 edition prompts AFC to consider back-to-back host decisions at upcoming congress

Related