HEADLINES

Penjawat awam kerja dari rumah tiga kali seminggu, syarat daftar SPOT-Me setiap sejam

Tempat bekerja pegawai semasa BDR ialah di rumah yang didaftarkan dalam Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS) sahaja

8:21 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Pegawai awam yang menetap dengan jarak perjalanan sehala dari pejabat ke rumah melebihi lapan kilometer di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan semua ibu negeri dibenarkan bekerja dari rumah (BDR) selama tiga hari seminggu mulai 15 April ini. 

Menurut pekeliling daripada Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, mereka juga dikehendaki menggunakan SPOT-Me yang membolehkan perekodan kehadiran pegawai melalui fungsi geolokasi pada peranti mudah alih dari rumah.

Pekeliling itu juga menetapkan pegawai hendaklah mendaftar masuk dalam SPOT-Me setiap satu jam dengan Ketua Jabatan hendaklah memantau keberadaan pegawai.

Ia juga menyatakan, Ketua Jabatan perlu mengenal pasti output bagi setiap pegawai yang melaksanakan BDR dan hendaklah menyemak serta mengesahkan secara berkala sasaran kerja dan output yang ditetapkan.

Tempat bekerja pegawai semasa BDR, katanya, ialah di rumah yang didaftarkan dalam Sistem Pengurusan Maklumat Sumber Manusia (HRMIS) sahaja.

“Bagi negeri-negeri yang bercuti hari mingguan pada Ahad, pelaksanaan BDR bermula Selasa hingga Khamis dan tidak dibenarkan BDR pada Isnin serta Jumaat.

“Sementara bagi negeri-negeri di mana hari kelepasan mingguan pada hari Jumaat iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu, BDR adalah pada hari Isnin hingga Rabu secara sepenuh hari.

“Tidak dibenarkan BDR pada Ahad dan Khamis,’’ katanya.

Pelaksanaan BDR bagaimanapun dikecualikan untuk tiga sektor membabitkan keselamatan dan pertahanan, kesihatan serta pendidikan.

Ketua Jabatan, katanya, hendaklah melaksanakan BDR seperti diarahkan namun bagi memastikan penyampaian perkhidmatan tidak terjejas, Ketua Jabatan hendaklah menentukan perkhidmatan penting (essential services) dan menyusun hari BDR bagi perkhidmatan tersebut sewajarnya mengikut kesesuaian operasi.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelaksanaan dasar BDR bagi sektor awam dan GLC bermula 15 April, sebagai langkah proaktif dalam mendepani krisis tenaga global.

Ia juga mengurangkan penggunaan bahan api serta memastikan kemampanan bekalan tenaga negara yang terkesan akibat konflik di Asia Barat.

Dalam pada itu, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri memberi jaminan bahawa perkhidmatan dan urusan agensi kerajaan akan tetap berjalan seperti biasa sepanjang pelaksanaan BDR.

“Ketua Jabatan akan bertanggungjawab dan memastikan aspek penyeliaan pegawai dan tugasan harian dipantau sepenuhnya,’’ katanya. – 2 April, 2026

Topics

 

Hangat

Petronas staff to be shown the door to make up losses from Petros deal?

Source claims national O&G firm is expected to see 30% revenue loss once agreed formula for natural gas distribution in Sarawak is implemented

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

Related