HEADLINES

Ops Hazard 3.0: 515 individu ditahan, nilai rampasan RM582 juta

Seramai 868 individu diperiksa dan daripada jumlah tersebut, 515 individu ditangkap atas pelbagai kesalahan melibatkan warga tempatan serta pendatang asing, berusia 16 hingga 70 tahun

1:26 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Polis telah merampas sisa elektronik (e-waste) dan produk akhir mencecah nilai RM582 juta serta menahan 515 individu dalam operasi bersepadu Ops Hazard 3.0 yang diadakan di seluruh negara pada 6 April lalu.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, sebanyak 110 serbuan dijalankan dalam operasi yang turut disertai Jabatan Alam Sekitar dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) itu.

Pemeriksaan lanjut, kata Khalid, daripada 110 lokasi serbuan, sebanyak 42 premis didapati berstatus kilang haram yang menjalankan aktiviti pemprosesan sisa elektronik.

Menurutnya, seramai 868 individu diperiksa dan daripada jumlah tersebut, 515 individu telah ditangkap atas pelbagai kesalahan melibatkan warga tempatan serta pendatang asing tanpa izin dalam lingkungan usia 16 hingga 70 tahun.

“Antara barangan yang dirampas ialah sisa elektronik sebanyak 6,378 tan bernilai RM455 juta, produk akhir sebanyak 377 tan bernilai RM7.4 juta, barangan lusuh sebanyak 1,925 tan bernilai RM11.6 juta dan lain-lain rampasan bernilai RM107 juta,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Khalid berkata kebanyakan premis haram dikendalikan oleh penduduk tempatan, walaupun beberapa daripadanya diusahakan oleh warga asing.

Beliau menambah, sebanyak 6,378 tan sisa elektronik (e-waste) bernilai RM455 juta telah dirampas, bersama 377 tan bahan yang telah diproses seperti aluminium, tembaga dan timah bernilai RM7.4 juta.

“Kita juga merampas 1,925 tan bahan sekerap bernilai RM11.6 juta, dengan rampasan lain menjadikan jumlah keseluruhan mencecah RM582 juta,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Menurut Khalid, produk akhir yang diproses daripada sisa elektronik berkenaan juga didapati dijual di pasaran luar negara kerana diproses secara haram di negara ini.

Mereka yang ditahan, katanya disiasat antaranya mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Akta Imigresen dan Undang-Undang Kecil Pihak Berkuasa Tempatan. 

Beliau turut memberitahu, pihaknya turut membekukan tujuh akaun individu serta syarikat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 berjumlah RM670,000, manakala LHDN pula membuka 24 kertas siasatan.

Beliau berkata rampasan besar dalam operasi berkenaan ialah hasil kerjasama pasukan Multi Agency Task Force yang diketuai oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta Jawatankuasa Task Force di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Peranan utama pasukan petugas ini adalah menjejak, menyita, membeku dan memulihkan aset negara yang diselewengkan.

“Pasukan ini tidak akan berkompromi dengan sebarang aktiviti haram yang mengancam keselamatan negara, kesihatan rakyat dan kelestarian alam sekitar,” katanya.

Menurut Khalid, operasi bersepadu berskala besar itu bukan hanya mencatatkan kejayaan dari segi tangkapan malah memberi tekanan hebat kepada pemain industri haram yang mengeksploitasi kelompongan perundangan sebelum ini. – 10 April, 2026

Topics

 

Hangat

[UPDATED] Welcome back to the Black Parade: My Chemical Romance set to rock Malaysia in 2026

Emo legends to play Bukit Jalil on April 30 as part of their long-awaited world tour, with Malaysian tickets ranging from RM299 to RM1,099 and sales opening on July 11, 2025

Putra Ahmad Merrah teruja berlakon, jadi hero kecil dalam filem Rebel arahan Datuk Awie

Putra Ahmad Merrah atau mesra disapa Merrah berkata, pada awalnya tidak menjangka berpeluang membawakan watak hero, Luka yang diterajui Ben Amir sewaktu zaman remaja di dalam filem itu.

End of an era: Ex-Malaysia Airlines A380 faces dismantling in French scrapyard

Once a long-haul icon, the superjumbo is being dismantled for prized components as the airline modernises its fleet with fuel-efficient jets

Related