HEADLINES

[TONTON] Ibu bapa terlepas pandang risiko lebih besar dalam talian, terlalu fokus tempoh menghadap skrin

Pakar memberi amaran pengantunan (grooming), manipulasi, dan interaksi tidak selamat sering diabaikan dalam perbincangan mengenai penggunaan media sosial dalam kalangan remaja

5:21 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Ketika Malaysia melaksanakan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA), ahli psikologi klinikal dan pakar terapi keluarga, K.C. Chiang, bimbang ibu bapa mungkin terlepas pandang risiko lebih serius yang dihadapi kanak-kanak di media sosial.

Walaupun ramai golongan dewasa terus memberikan tumpuan kepada tempoh penggunaan skrin dan disiplin, bahaya seperti manipulasi dalam talian, pengantunan (grooming), dan interaksi tidak selamat dengan orang asing sering kali dipandang rendah.

“Berdasarkan pengalaman, saya tidak melihat ibu bapa memikirkan tentang aspek ini pun,” kata Chiang, sambil menekankan risiko interaksi dalam talian yang berbahaya.

Sebaliknya, beliau menyedari kebimbangan yang disuarakan oleh ibu bapa lebih cenderung tertumpu kepada penggunaan berlebihan dan masalah disiplin.

“Kebimbangan utama mereka ialah terdapat penggunaan melampau… Anak saya kurang berdisiplin, dan tolonglah perbaiki anak saya. Ajarkan dia disiplin untuk menjauhkan diri daripada media sosial,” jelas beliau, merumuskan aduan biasa yang diterimanya.

K.C. Chiang meluahkan kebimbangan mengenai tempoh masa penggunaan skrin dalam kalangan kanak-kanak. – Gambar Scoop, 18 April, 2026

Walau bagaimanapun, Chiang menegaskan bahawa isu ini jauh lebih kompleks daripada sekadar mengehadkan tempoh skrin atau menyalahkan kanak-kanak atas tabiat mereka.

Apabila menyentuh tentang interaksi dalam talian, terutamanya dengan orang asing, beliau memberi amaran bahawa risikonya melangkaui kecederaan psikologi dan boleh meningkat kepada bahaya di dunia nyata.

“Dalam pemikiran golongan muda, anda mudah dipengaruhi, anda mahu mencari kawan, dan anda boleh terpedaya dengan mudah,” katanya.

Menurut Chiang, kanak-kanak perlu diajar untuk tidak merahsiakan sesuatu daripada ibu bapa.
“Jika seseorang datang kepada anda dan berkata, ‘Hei, kita akan lakukan ini, tolong jangan beritahu ibu bapa kamu, ini rahsia.’ Jangan lakukan itu,” jelas beliau lanjut.

Tambah beliau walaupun media sosial sering dipersalahkan, punca utama penggunaan berlebihan mungkin terletak di tempat lain, termasuk kurangnya hubungan dan sokongan dalam persekitaran kanak-kanak.

Dalam sesetengah kes, jelas beliau, media sosial menjadi mekanisme daya tindak (coping mechanism) untuk mengatasi kesunyian atau pengasingan, terutamanya bagi kanak-kanak yang kekurangan sistem sokongan keluarga atau sosial yang kuat.

“Jadi apa yang cuba saya sampaikan ialah keadaan sekarang sangat rumit,” katanya sambil mempersoalkan siapa yang sepatutnya dipersalahkan.

“Menyalahkan kanak-kanak, menyalahkan syarikat media sosial, menyalahkan pempengaruh. Maksud saya, siapa yang anda mahu salahkan? Bukan begitu?” soal beliau, sambil merujuk kepada saling kaitan antara dinamika keluarga, persekitaran, dan pendedahan digital.

Sementara itu, pakar terapi keluarga tersebut juga berkata bahawa orang ramai tidak seharusnya terburu-buru menyalahkan ibu bapa atau menganggap mereka mengabaikan anak-anak, sebaliknya perlu memahami mengapa ibu bapa terpaksa berjauhan.

“Mereka sedang bergelut untuk cuba menyediakan apa yang mereka fikir terbaik untuk anak tersebut,” jelas beliau lagi.

Bagi menangani isu ini, beliau menegaskan bahawa ikatan antara ibu bapa dan anak adalah sangat fundamental.

Memandangkan ONSA memperkenalkan langkah-langkah yang lebih ketat untuk mengawal selia platform dalam talian dan melindungi kanak-kanak bawah umur, Chiang menekankan bahawa kesedaran ibu bapa mesti berkembang seiring dengan penguatkuasaan dasar.

Daripada hanya memberi tumpuan kepada pengehadan penggunaan, beliau berkata ibu bapa perlu lebih memahami sifat risiko dalam talian dan mengekalkan komunikasi terbuka dengan anak-anak mereka.

Undang-undang, tambahnya, tidak boleh berfungsi secara sendirian tanpa penglibatan aktif daripada keluarga dalam membimbing dan melindungi pengguna muda di ruang digital. – 16 April, 2026

Topics

 

Popular

We never ask for personal user data from telcos under MPD initiative: MCMC

Deputy managing director explains that all mobile data is anonymised at the telco level, with no names, IC numbers or addresses ever collected or stored by the commission

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

InDrive faces termination for flouting guidelines

It is the second Russian e-hailing app after Maxim to face ban by Land Public Transport Agency

Related