KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengenal pasti 40 saksi berkaitan siasatan kes penyelewengan dana berjumlah RM230 juta melibatkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Selangor.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata setakat ini daripada tiga tangkapan dilakukan, dua telah direman dan 11 saksi dirakam keterangan bagi siasatan kes berkenaan.
“SPRM menyita aset tak alih dianggarkan bernilai RM27 juta melibatkan empat bidang tanah, tujuh unit rumah, tiga premis pejabat, 18 kereta dan barangan kemas. Selain itu, 33 akaun bank dibekukan dengan jumlah anggaran RM150 juta,” lapor Bernama.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penyerahan Masjid Kariah Kampung Terentang, Padang Lebar di sini bersempena dengan Program Satu Pemimpin Satu Kampung (Santuni MADANI).
Pada Selasa, dua lelaki berusia lingkungan 50-an dan 60-an, termasuk seorang timbalan pengerusi NGO, direman bagi membantu siasatan kes berkenaan.
Azam menegaskan bahawa kes ini tidak melibatkan penyalahgunaan dana zakat, sebaliknya tertumpu kepada sebuah NGO yang mengutip sumbangan awam berasaskan konsep fisabilillah.
“Seperti mana saya pernah sebut semalam, isu ini bukan tentang penyalahgunaan duit zakat, tapi daripada siasatan yang kita jalankan, mereka ini merupakan sebuah NGO yang mendapat komisen dalam mengutip sumbangan daripada orang ramai,”
“Daripada siasatan kami, NGO itu menerima komisen daripada kutipan, dengan mengekalkan 60 peratus manakala 40 peratus disalurkan kepada negeri-negeri berkaitan.
“Namun, dana tersebut telah disalahgunakan untuk tujuan peribadi serta memberi manfaat kepada ahli keluarga,” katanya.
Azam menambah bahawa SPRM akan terus menyita aset dan dana yang dipercayai berkaitan dengan kes ini bagi menentukan sama ada ia diperoleh secara sah.
Sementara itu, mengenai siasatan berhubung siasatan kes penyelewengan dana NGO milik seorang pendakwah bebas di Negeri Sembilan, Azam berkata, pihaknya akan memanggil 14 hingga 15 saksi.
“Bagi kedua-dua kes ini mungkin akan berlaku sedikit kelewatan kerana kita perlukan masa untuk dapatkan dokumen bank bagi di Selangor bagi tahun 2018-2022, kalau 2023 hingga 2025 berdasarkan pengalaman saya ia mudah diperoleh,” katanya.
Azam juga memaklumkan bahawa proses siasatan kedua-dua kes terbabit kemungkinan akan mengambil sedikit masa kerana SPRM perlu mendapatkan maklumat daripada institusi bank.
“Kedua-dua kes ini, selain daripada kita membuka kertas siasatan untuk melihat kesalahan di bawah Seksyen 23, Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009, kita juga melihat pada kesalahan di bawah Seksyen 403 (Kanun Keseksaan), iaitu secara jenayah menggunakan harta secara curang.
“Kita juga melihat kesalahan pecah amanah dan telah membuka fail kesalahan pengubahan wang haram bagi kedua-dua kes,” katanya.
Terdahulu, SPRM Negeri Sembilan menahan seorang pendakwah bebas yang disyaki menyalahgunakan kuasa dan menyeleweng dana sebuah NGO berjumlah kira-kira RM12.3 juta untuk kepentingan peribadi.
Lelaki berumur lingkungan 30-an itu ditahan reman selama lima hari hingga esok. – 25 April, 2026
