KUALA LUMPUR – Parti Bersatu mengambil tindakan disiplin dengan memecat dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan menggantung empat Ahli Parlimen parti itu berkuat kuasa serta-merta.
Menerusi notis dikeluarkan Pengerusi Lembaga Disiplin Bersatu, Datuk Mohd Radzi Manan, mereka yang dipecat ialah Adun Suka Menanti, Dzowahir Ab Ghani dan Adun Sungai Tiang, Abdul Razak Khamis yang juga Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah.
Dzowahir dan Abdul Razak dipecat di bawah Fasal 22.5 Perlembagaan parti kerana didakwa melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan serta Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli.
Sementara empat lagi pemimpin Bersatu yang digantung ialah Ahli Parlimen Tanah Merah, Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz; Ahli Parlimen Rompin, Datuk Khalib Abdullah; Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid dan Ahli Parlimen Ketereh, Datuk Khlir Mohd Nor.
Mereka digantung hak keahlian selama dua penggal pemilihan parti selepas didapati melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan Bersatu.
“Pihak Lembaga Disiplin telah bersidang dan telah memutuskan bahawa Datuk Seri digantung hak-hak keahlian dalam parti dibawah Fasal 22.5 bagi tempoh dua penggal pemilihan Bersatu berkuat kuasa mulai tarikh surat ini dikeluarkan atas tindakan Datuk Seri melanggar Fasal 9.1.4 Perlembagaan dan Kod Etika dan Tatakelakuan Ahli,” menurut surat penggantungan itu,’’ katanya, lapor Malaysia Gazette.
Mereka bagaimanapun diberi ruang membuat rayuan dalam tempoh 14 hari daripada tarikh surat tersebut dikeluarkan.
Turut menerima nasib sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderoh merangkap Ketua Armada Bersatu Padang Rengas, Syed Lukman Hakim Syed Mohd Zain yang turut digantung selama dua penggal atas kesalahan sama.
Sebelum ini, Bersatu mengambil tindakan memecat Timbalan Presidennya yang juga Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut); Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal; Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor); Azahari Hasan (Padang Rengas) dan Fathul Huzir Ayob (Gerik) Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.
Sementara Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ronald Kiandee digantung keahlian parti selama dua penggal berkuat kuasa 10 Mac lalu. – 8 Mei, 2026
