HEADLINES

‘Sekarang masa jaga rakyat, rebut kuasa pilihan raya gelanggangnya’: PM

Perdana Menteri mahu agensi kerajaan berhenti jadi 'pak turut' di pejabat; arah turun padang santuni peniaga kecil dan belia, sambil titip pesanan pedas buat pencatur politik agar fokus kepada kebajikan rakyat berbanding perebutan kuasa

12:05 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghantar mesej tegas kepada semua pihak agar menghentikan segera percaturan politik demi kuasa, sebaliknya menumpukan kudrat sepenuhnya kepada kebajikan rakyat di tengah-tengah ketidaktentuan global.

Beliau menegaskan bahawa mandat dan penentuan kuasa mempunyai ruangnya yang tersendiri, iaitu melalui proses demokrasi apabila tiba masanya kelak.

“Negara kita menghadapi masalah, fokusnya ke masalah rakyat, bukan perebutan. Bukan masanya, ada masa dalam sistem kita… pilihan raya, itu gelanggangnya. Tapi sekarang masa kita bangun, rakyat harus diberi perhatian,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut mengeluarkan arahan keras kepada semua agensi pembangunan usahawan dan institusi kewangan kerajaan supaya menghentikan budaya “menunggu pelanggan” di pejabat.

Sebaliknya, beliau mahu agensi terlibat lebih proaktif dengan turun ke lapangan bagi mengenal pasti sendiri denyut nadi peniaga kecil, khususnya golongan belia.

“Mesej saya jelas kepada semua agensi dan institusi kewangan kerajaan, cari jalan turun kepada rakyat. Jangan tunggu mereka datang ke pejabat memohon bantuan. Kalau ada gerai-gerai kecil di Kuala Lumpur, Seremban atau di mana-mana kawasan, turun jumpa mereka, tanya apa masalah mereka… Pihak kerajaan mesti hadir membantu rakyat,” tegas beliau.

Kenyataan itu dibuat bagi mengulas kemelut politik yang melanda Negeri Sembilan baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Anwar turut memuji daya tahan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun dalam mengemudikan pentadbiran negeri meskipun berdepan tekanan politik.

“Selesaikan cara musyawarah, muafakat yang baik. Negeri Sembilan juga tidak terlepas. Jadi saya tabik Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun kerana kecekalan dan semangat yang beliau tunjukkan dalam mengharungi kemelut politik yang tidak berkesudahan,” tambahnya lagi ketika merasmikan Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2026 di X Park Sendayan, hari ini.

Sebagai bukti komitmen memperkasakan anak muda, Anwar turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM5 juta kepada Majlis Belia Malaysia (MBM) — peningkatan sebanyak RM1 juta berbanding peruntukan terdahulu.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun serta Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari. – 15 Mei, 2026

Topics

 

Hangat

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

PIDM: Building resilience to safeguard your deposits

PIDM protects up to RM250,000 per depositor per member bank and up to RM500,000 for takaful and insurance benefits. For health-related insurance, PIDM protects 100% of your healthcare benefits.

Schools may close if air quality worsens, five areas hit unhealthy levels: DOE

The department said the areas recorded unhealthy API readings, warns of RM1mil fine for open burning offenders

Related