HEADLINES

Malaysia tidak bantah Jho Low mohon pengampunan Trump : Anwar

Perdana Menteri berkata perkara itu merupakan urusan dalaman Amerika Syarikat (AS) dan bukan sesuatu yang akan diambil tindakan rasmi oleh Malaysia

1:05 PM MYT

 

KUALA LUMPUR – Malaysia tidak akan membantah permohonan pengampunan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low kepada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Perdana Menteri, perkara itu merupakan urusan dalaman AS dan bukan sesuatu yang akan diambil tindakan rasmi oleh Malaysia.

“Kita tidak akan menyokong laluan itu… tetapi sudah tentu ia adalah urusan Amerika Syarikat sendiri,’’ katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Belia Negara di Seremban hari ini.

Anwar berkata demikian ketika ditanya sama ada Malaysia akan membuat sebarang representasi rasmi kepada pihak berkuasa AS bagi membantah kemungkinan pengampunan diberikan kepada Jho Low.

Beliau turut menyifatkan perkara tersebut sebagai ‘bukan isu’ dari sudut pandangan Malaysia.

“Setakat yang saya tahu, ia bukan satu isu. Saya juga tidak dimaklumkan bahawa beliau telah mengemukakan permohonan pengampunan.

“Walaupun beliau telah memohon, ia bukan perkara yang perlu kita bincangkan kerana beliau masih melalui proses perundangan di mahkamah,” katanya.

Pada Isnin, Jho Low, yang merupakan individu paling dikehendaki dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dilaporkan cuba memohon pengampunan daripada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dengan permohonan berkenaan difailkan dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

Menurut laporan Wall Street Journal (WSJ), jika diluluskan, ia akan menggugurkan pertuduhan jenayah di Amerika Syarikat terhadapnya.

Laman web Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat menyenaraikan satu permohonan yang masih menunggu keputusan bagi “Pardon after Completion of Sentence” atas nama Taek Jho Low yang difailkan tahun ini.

WSJ yang memetik sumber juga memberitahu, Jho Low dilaporkan menggunakan penyerahan seorang lelaki warga Bangladesh dalam kes eksploitasi kanak-kanak oleh Malaysia kepada AS, baru-baru ini, sebagai sebahagian daripada permohonannya untuk mendapatkan pengampunan daripada Trump.

Jho Low, yang didakwa mendalangi kecurian lebih AS$4.5 bilion (RM20.7 bilion) daripada Malaysia melalui kes 1MDB itu hilang pada 2016 ketika pihak berkuasa dari Singapura hingga ke Australia dan AS menyiasat kes penipuan besar-besaran tersebut. – 15 Mei, 2026

Topics

 

Hangat

What will we call for next? A ban on cheap cigarettes, tuak and kapcais? – Rocky Bru

While concerns over drug-laced vapes grow, a blanket ban could backfire by wiping out businesses, threatening jobs, pushing trade underground amid weak enforcement and open tank loopholes

Jangan buang kucing di pasar, hantar ke pusat perlindungan jalan terbaik

Tindakan itu juga satu kesalahan di bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

Influencer who recited Quran at Batu Caves accused of sexual misconduct in Netherlands

Abdellatif Ouisa has targeted recently converted, underage Muslim women, alleges Dutch publication

Related