KUALA LUMPUR — Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW), Jais Abdul Karim, menggesa supaya kutipan zakat dan derma awam dikendalikan secara profesional dengan audit bebas bagi memastikan ketelusan dan mengelak penyalahgunaan dana.
Dalam podcast sulung Bahasa Malaysia Scoop Insight bertajuk ‘RM230 Juta: Amanah atau Khianat’, beliau menegaskan bahawa pengutip zakat dan ejen sumbangan perlu diberi kesedaran bahawa tugas mereka adalah ibadah — bukan peluang memperkayakan diri.
“Perkara yang mereka buat ni memang bagus, tetapi kalau disalahgunakan ia akan backfire dengan teruk — bukan setakat pada diri mereka, tetapi kepada agama Islam itu sendiri,” katanya.
Masalah bukan eksklusif Islam
Jais turut mendedahkan bahawa isu salah guna dana bukan hanya berlaku dalam institusi Islam, tetapi juga di tempat ibadah agama lain.
“Kawan saya bukan Islam pun kata, di tokong mereka pun ada masalah sama. Jadi bukan Islam saja ada masalah ni,” ujarnya.
Beliau menambah bahawa ramai yang ditangkap atau disiasat kerana rasuah adalah individu yang kelihatan taat beribadah, namun gagal menghayati nilai sebenar ibadat.
“Ibadat itu sepatutnya kerana cinta kepada Allah, bukan ritual semata-mata. Kalau buat sebab terpaksa, lepas sembahyang jadi syaitan balik,” katanya sinis.

Dana Palestine dan ‘loophole’ NGO
Jais turut menyorot pengalaman NGO yang mengutip dana untuk Palestine, di mana hanya sebahagian kecil sampai kepada penerima sebenar.
“Ada NGO umum kutip RM3 juta, tapi yang sampai kepada kami tak sampai 10%. Mereka ambil 30% sebagai kos pengurusan — dari mana datang angka tu pun tak tahu,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa dalam Islam, amil atau pengutip zakat memang berhak menerima bahagian, tetapi sekadar mencukupi untuk kehidupan — bukan bermewah.
“Tak ada ulama kata boleh ambil sampai 20% atau 30%. Ini ibadah, bukan perniagaan,” tegasnya.
Bagi mengembalikan keyakinan masyarakat terhadap sistem amanah Islam, MCW merasakan sudah tiba masa kerajaan dan institusi agama memperkenalkan garis panduan jelas serta audit berkala terhadap badan pengutip zakat dan derma awam.
Media terdahulu melaporkan penyelewengan berjumlah kira-kira RM230 juta membabitkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu tidak membabitkan sumber dana daripada badan zakat, sebaliknya diseleweng daripada sumbangan yang diberikan pelbagai pihak dan sumber kepada pertubuhan berkenaan.
Sebahagian daripada sumbangan yang diseleweng itu dipercayai termasuk kutipan yang sepatutnya disalurkan kepada badan zakat sebuah negeri. – 22 Mei, 2026

