HEADLINES

Kerajaan perluas kelayakan subsidi diesel kepada jip, pikap di seluruh negara mulai 1 Jun

Sebelum ini kelayakan bagi kenderaan jenis jip dan pikap hanya diberikan kepada kawasan Cameron Highlands

11:22 AM MYT

 

KUALA LUMPUR – Penyaluran subsidi diesel menerusi Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) akan diperluaskan kelayakan kepada jip dan pikap bagi sektor pengangkutan darat barangan di seluruh negara berkuat kuasa 1 Jun ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata keputusan itu dibuat susulan Mesyuarat Jemaah Menteri pada 20 Mei lepas, untuk menambah baik mekanisme pelaksanaannya.

“Sebelum ini, kelayakan bagi kenderaan jenis itu hanya diberikan kepada kawasan Cameron Highlands. Syarikat sektor pengangkutan darat barangan di seluruh negara yang memiliki kenderaan jip dan pikap boleh mula membuat pendaftaran SKDS bermula 1 Jun ini,” katanya, lapor Bernama.

Armizan memberitahu, kerajaan turut bersetuju memperluaskan manfaat subsidi diesel melalui SKDS kepada kenderaan jip dan pikap yang sebelum ini didaftarkan atas nama individu, tertakluk kepada kelulusan pertukaran pendaftaran kenderaan kepada syarikat.

“Pengguna individu yang terlibat dalam aktiviti pengangkutan darat barangan digalakkan mendaftarkan syarikat atau perniagaan masing-masing dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia, Suruhanjaya Koperasi Malaysia atau pihak berkuasa berkaitan di Sabah dan Sarawak mengikut peruntukan undang-undang negeri.

“Selain itu, pemohon juga perlu memenuhi syarat kelayakan lain termasuk memindahkan hak milik kenderaan daripada kategori individu kepada syarikat melalui Jabatan Pengangkutan Jalan,” tambahnya.

Armizan berkata kerajaan turut memutuskan untuk melaraskan had kuota tetap SKDS bagi sektor pengangkutan darat barangan sebagai langkah memperkukuh mekanisme kawal selia dan penguatkuasaan bagi mengekang ketirisan subsidi serta penyalahgunaan fleet card.

“Setiap fleet card akan diberikan kuota tetap antara 900 liter hingga 5,000 liter sebulan bergantung kepada had kuota yang ditetapkan untuk 23 jenis kenderaan sektor pengangkutan darat barangan.

“Jumlah had kuota ini ditetapkan berdasarkan analisa penggunaan jenis pengangkutan dalam tempoh dua tahun pelaksanaan SKDS. Pelarasan kadar kuota tetap bagi setiap fleet card akan berkuat kuasa mulai 1 Jun ini.

Bagi syarikat yang memerlukan penggunaan melebihi had ditetapkan, rayuan pertambahan kuota boleh dikemukakan kepada Jawatankuasa Kelulusan Subsidi Petroleum yang diurus setia oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN),” tambahnya.

Beliau berkata permohonan rayuan boleh dibuat secara dalam talian menerusi e-mel [email protected] atau secara fizikal di kaunter KPDN berhampiran.

“Pertimbangan rayuan akan dibuat berdasarkan justifikasi keperluan operasi sebenar serta rekod penggunaan bulanan sedia ada dalam sistem SKDS sejak kelulusan pendaftaran diberikan.

Kementerian juga menggalakkan syarikat dalam sektor pengangkutan darat awam, pengangkutan darat barangan dan pengangkutan awam air yang belum menikmati subsidi petrol dan diesel supaya membuat pendaftaran di bawah Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan SKDS.

Armizan berkata semua syarikat yang menerima manfaat subsidi bahan api melalui SKPS dan SKDS perlu bertanggungjawab terhadap penggunaan fleet card yang diperoleh daripada syarikat minyak.

“Sebarang penyalahgunaan akan menyebabkan fleet card digantung serta-merta dan syarikat terlibat akan disenarai hitam,” tegasnya.

Beliau berkata sehingga 20 Mei, sebanyak 179,716 syarikat melibatkan 432,495 kenderaan sektor pengangkutan darat awam, sektor pengangkutan darat barangan dan sektor pengangkutan awam air yang berkelayakan telah mendapat manfaat subsidi petrol dan diesel.

“Ini meliputi 19,189 syarikat dengan 38,817 kenderaan bagi SKPS dan 160,527 syarikat dengan 393,678 kenderaan bagi SKDS,” katanya. – 23 Mei, 2026

Topics

 

Hangat

Court orders MYAirline co-founder to repay over RM8mil to investors

Datuk Allan Goh and four associated companies are directed to return funds after failing to meet financial obligations to 15 investors

FAM at 99: a journey from colonial roots to Malaysia’s football milestones

The Football Association of Malaysia (FAM) marks its 99th anniversary today, tracing a journey from its colonial-era beginnings in 1926 to becoming the custodian of Malaysian football

AFC to name 2031 and 2035 Asian Cup hosts in joint announcement

Record number of bids for 2031 edition prompts AFC to consider back-to-back host decisions at upcoming congress

Related