KUALA LUMPUR – idea asal penubuhan dan asal usul terciptanya nama Perikatan Nasional (PN) langsung tidak melibatkan Tan Sri Muhyiddin, kata Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Wan Saiful Wan Jan.
Wan Saiful yang dipecat dari Bersatu pada Oktober lalu berkata, justeru dakwaan bahawa Muhyiddin adalah pengasas PN adalah ‘tahyul’ yang perlu dihapuskan dan merupakan hujah dari mereka yang cuba memesongkan fakta sebenar penubuhan gabungan berkenaan.
Sebaliknya, kata beliau terdapat enam individu yang terlibat namun beliau enggan mendedahkan nama mereka kerana belum mendapat kebenaran daripada individu-individu terbabit.

“Sekarang sudah tular senarai pemimpin-pemimpin yang hadir dalam mesyuarat penubuhan PN pada 29 Julai 2020 di Aras 4, Menara Parlimen dan jelas sekali yang hadir dalam mesyuarat yang akhirnya melahirkan PN adalah 12 orang yang merangkumi parti PAS, Bersatu, Gerakan dan MIC.
“Nyata bahawa PN bukan lahir dari tangan seorang individu yang sedang cuba didewakan oleh Bersatu sahaja.
“Mungkin ada yang mahu mengatakan bahawa Muhyiddin yang memberi idea penubuhan PN. Sekali lagi, ini pun tahyul,’’ katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Isnin lalu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), Dr Afif Bahardin berkata sudah tiba masanya Muhyiddin kembali memimpin PN sebagai pengerusi keranagabungan itu memerlukan seorang pemimpin yang mampu menyatukan, menenangka keadaan dan membina semula kekuatan PN.
Jelasnya, Muhyiddin bukan sekadar pengasas PN malah beliau adalah titik temu yang yang berjaya menghimpunkan pelbagai aliran pemikiran politik dalam satu wadah perjuangan.
Mengulas lanjut, Wan Saiful memberitahu, terdapat tiga individu yang terlibat dalam melahirkan cadangan penubuhan PN dengan salah seorang daripada mereka menandatangani surat kepada Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri ketika itu untuk mengangkat cadangan tersebut.
Ketika itulah, katanya, kali pertama idea penubuhan serta nama PN dizahirkan dan ia langsung tiada penglibatan Muhyiddin.
Sementara individu keempat pula, ujar Wan Saiful adalah penulis surat setebal 38 muka surat yang dihantar kepada Dr Mahathir untuk mencadangkan penubuhan PN.
“Pada waktu yang sama, ada dua orang lagi – iaitu individu kelima dan keenam yang terlibat dalam mereka cipta logo PN yang ada sekarang.
“Selepas itu Muhyiddin ada bagi cadangan gambar pokok untuk jadi logo tetapi cadangan itu ditolak sebaliknya yang diterima ialah cadangan yang diangkat oleh individu kelima dan keenam ini,’’ katanya.
Justeru, Wan Saiful berharap enam individu terbabit tampil dan mereka yang menandatangi surat tersebut boleh mendedahkan isi kandungannya.
“Biar semua orang tahu bahawa Muhyiddin hanya datang kemudian, tapi langsung tak malu nak “claim credit”.
“Sudah-sudahlah usaha menjadikan Muhyiddin sebagai dewata raya yang dipuja-puja. Lebih banyak tahyul yang dibawa, lebih malu nanti jadinya,’’ katanya. – 12 Jun, 2026
